Pilih Bahasa

Kerja memindahkan Batu Sumpah Keningau masuki fasa akhir

Kerja pemindahan Batu Sumpah sedang berjalan. -Bernama

KENINGAU, 16 Ogos (Bernama) — Kerja-kerja memindahkan Batu Sumpah Keningau yang menelan belanja sebanyak  RM1.025 juta sudah memasuki fasa akhir, kata Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman.

Katanya satu kawasan berhampiran Muzium Warisan Keningau telah ditetapkan sebagai lokasi baharu batu sumpah itu.

Menurutnya, lokasi baharu berkenaan lebih selesa dan akan memudahkan orang ramai mengunjunginya setiap kali sambutan Hari Malaysia pada  16 Sept.

Yusop berkata sepasukan pekerja binaan terpilih di bawah pengawasan ‘bobolian’ atau pengamal adat melakukan kerja-kerja pengorekan dan pemindahan yang sangat teliti itu.

“Pemindahan ini (Batu Sumpah) mendapat persetujuan dan kerjasama bobolian. Mereka (bobolian) akan melakukan upacara ritual sebelum  kerja pengorekan dan pemindahan dilakukan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Yusop berkata satu upacara sama turut akan diadakan sebaik sahaja batu bersejarah itu diletakkan di lokasi baharu.

Batu Sumpah Keningau merupakan batu peringatan sejarah yang sangat penting bukan sahaja untuk daerah Keningau dan negeri Sabah, tetapi juga negara kerana kewujudannya ada kaitan dengan sejarah awal  pembentukan Malaysia.

Menteri Buruh Malaysia V. Manickavasagam menyempurnakan perasmian peletakan batu itu pada 31 Ogos 1964, disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens, G.S. Sundang, pasukan keselamatan,  pegawai kerajaan dan ketua-ketua etnik penduduk tempatan di hadapan Pejabat Daerah lama Keningau pada ketika itu.

Beberapa tahun sebelum ini, beberapa insiden iaitu kehilangan plat serta beberapa perkataan asal pada batu peringatan itu menimbulkan kontroversi.

–BERNAMA