Pilih Bahasa

Kerja pemasangan pagar 650m di pembahagi Jalan Coastal bermula selepas Aidilfitri

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kerja-kerja pemasangan pagar sepanjang 650 meter di sepanjang pembahagi jalan bermula dari lampu isyarat Harbour City sehingga jambatan berhampiran Ming Garden akan bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ahli Parlimen Chan Foong Hin berkata pelan rekabentuk dan senarai kuantiti (BQ) pemasangan pagar dengan kos RM200,000 daripada Peruntukan Ahli Parlimennya telah diluluskan.

Chan (tiga dari kiri) bersama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (empat dari kiri) bersama para wartawan yang membuat liputan Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita akan mulakan kerja selepas Hari Raya ini,” katanya semasa ditemui menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihoskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri Datin Seri Shuryani Shuaib di Rumah Yayasan Sabah dekat sini hari ini.

Tujuan pemasangan pagar itu bertujuan menghalang pejalan kaki terutama para pelancong yang tinggal di hotel sekitar kawasan daripada menyeberangi Jalan Coastal yang sibuk dengan lalulintas.

Beberapa siri kemalangan melibatkan pejalan kaki telah dilaporkan di kawasan terbabit sebelum ini.-SabahNewsToday