Pilih Bahasa

Kerjasama dari pemain industri minyak & gas perlu, tingkatkan ekonomi: Mohd Shafie

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerjasama antara kerajaan negeri dan semua pemain industri utama minyak dan gas sangat penting dari segi perniagaan, pemantauan, sokongan atau pendidikan untuk membentuk masa depan sektor berkenaan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata hal demikian kerana sektor minyak, gas dan tenaga mencatatkan lebih daripada 20 peratus produk Keluaran Negeri Kasar Sabah yang menyumbang penting kepada petumbuhan ekonomi negara.

Mohd Shafie melihat antara produk berkaitan minyak & gas di SOGCE ke-7 hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan pemain industri memastikan Sabah dapat membawa sektor minyak dan gas ke tahap kejayaan yang lebih tinggi.

“Melalui usaha ini juga, sudah pasti secara tidak langsung, sektor berkenaan mampu mewujudkan peluang bagi beribu-ribu rakyat Sabah.

“Kami mahukan kolaborasi mantap dan kerjasama strategik yang dapat memacu perjalanan sektor menguntungkan ini berada di jalan yang betul untuk lebih maju serta berjaya.

Ketua Menteri melawat pameran SOGCE ke-7 di Magellan Sutera hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Untuk mendapat manfaat sepenuhnya dalam sektor ini, kita mesti menangani cabaran yang sinonim dengan sektor minyak dan gas di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pameran dan Persidangan Minyak dan Gas Sabah (Sogce) Ketujuh 2019, di Magellan Sutera Resort, hari ini.

Mohd Shafie berkata bagi syarikat yang ingin kekal berdaya saing di masa depan, terdapat keperluan untuk menilai potensi mengalihkan strategi mereka di Sabah

“Kita mesti mengenal pasti ketidakpastian utama yang boleh membentuk masa depan minyak dan gas Sabah dalam 10 hingga 15 tahun akan datang untuk memastikan evolusi industri dan masa depan yang munasabah,” jelasnya.

Jelasnya mengenai bahagian kerajaan negeri, pada Disember 2018, kerajaan meminda Ordinan Perlombongan 1960 kepada Enakmen Perlombongan (Pindaan) 2018 untuk menguruskan pendapatan mineral dari Sabah seperti minyak dan gas dengan lebih baik.

Menurutnya Pindaan tersebut membolehkan Sabah mengutip cukai jualan ke atas sumber semula jadi yang diekstrak dari perairan negeri serta hasil daripada produk petroleum.

“Oleh itu, ini akan meningkatkan lagi industri minyak dan gas di Sabah pada masa akan datang,” katanya. -SabahNewsToday