Pilih Bahasa

Kerjasama erat SESB dan PBT penting

KOTA KINABALU: Kerjasama yang erat diantara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu untuk membangunkan ekonomi setempat serta menarik pelabur luar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Hj Jaujan Sambakong berkata kerjasama tersebut secara langsung turut membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan perbandaran.

Nasser (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Jaujan. Gambar SNT/Ihsan SESB

“SESB dan PBT saling lengkap melengkapi.”

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pemangku Pengarah Urusan SESB Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid bersama-sama Pengurusan Tertinggi SESB ke pejabatnya di Wisma Innoprise pada
Selasa lalu.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Hjh. Masnah Matsalleh.

“Apabila SESB mampu menberikan perkhidmatan bekalan elektrik yang stabil, pihak PBT mampu menyediakan kemudahan awam yang baik dan hubungan ini akan mampu untuk meningkatkan ekonomi dan memajukan kawasan berkenaan” katanya lagi.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kerajaan negeri mahu kerjasama erat dengan syarikat korporat tempatan terus diperkukuh ke arah membantu membangun dan memajukan PBT.

“Kita sedar peranan syarikat korporat seperti SESB sangat penting bagi mewujudkan rangkaian bandar baharu yang lengkap dengan prasarana untuk kemudahan rakyat” katanya dan menegaskan bahawa ekonomi setempat membangun dengan baik apabila prasarana seperti perkhidmatan bekalan elektrik diberikan dengan stabil.

Usaha yang dilakukan SESB serta peningkatan prestasi yang memberangsangkan itu juga menjadi pemacu pembangunan ekonomi dan industri negeri Sabah.

Ini secara langsung memberi nilai tambah
untuk menaiktaraf status PBT daripada majlis perbandaran menjadi bandar raya kelak.

Selain itu, Jaujan juga berkata kerajaan juga mengambil berat isu penyambungan bekalan elektrik secara haram yang semakin berleluasa di kawasan setinggan.

“Kita faham bekalan elektrik ini amat penting dan perlu dibekalkan kepada setiap rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini tetapi dalam masa yang sama kita perlu pastikan bekalan elektrik itu diperolehi secara sah oleh penduduk tempatan dan mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan oleh pihak SESB,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan melalui PBT sedang melaksanakan tindakan susulan untuk menyelesaikan masalah penyambungan haram di kawasan setinggan ini dengan kerjasama semua pihak termasuk SESB.

Dalam taklimat ringkas, Ir.Abdul Nasser berkata SESB sentiasa bersiap sedia serta mempunyai keupayaan memberikan perkhidmatan bekalan elektrik dalam usaha menyokong pembangunan perindustrian di negeri ini.

Beliau juga berkata, selain penyambungan elektrik secara haram di kawasan setinggan, SESB turut memberikan tumpuan terhadap kes usikan pepasangan meter atau curi elektrik.

Menurut Abdul Nasser, SESB juga mengadakan kerjasama bersepadu dari masa ke semasa dengan agensi dan pihak berkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Eastern Sabah Security Command (Esscom), Suruhanjaya Tenaga (ST), Majlis Keselamatan Negara dalam usaha untuk membanteras penyambungan haram dan kecurian elektrik.

“SESB sedar terdapat banyak kekangan dalam usaha untuk memastikan kes penyambungan haram dan kecurian elektrik ini dapat dibanteras, justeru itu kita sentiasa bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan termasuk pihak PBT untuk menyelesaikan masalah ini dengan kaedah yang lebih efektif
dan mampan ’ katanya lagi.-SabahNewsToday