Pilih Bahasa

KERJASAMA NGO DAN KERAJAAN MAMPU PUPUK KESEDARAN KEBERSIHAN SUNGAI PETAGAS: UDA

Oleh Datu Ruslan Sulai

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai ketika menghadiri sesi taklimat daripada Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA) bersempena anjuran World Cleanup Day di pejabatnya, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) baru-baru ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

KOTA KINABALU: Kerjasama erat daripada persatuan badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri mampu memupuk kesedaran di kalangan masyarakat setempat dalam usaha membersihkan kawasan sungai di Petagas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Uda Sulai berkata, sudah sampai waktunya satu mekanisme diwujudkan sebagai platform mendidik penduduk di kawasan itu mencintai kebersihan dengan lebih bertanggungjawab terhadap aspek pembuangan sampah dan menjaga kecantikan kawasan sungai.

“Kita sememangnya amat mengalu-alukan penyertaan pihak NGO dan lain-lain dalam usaha meningkatkan aspek kebersihan di Petagas ini.

“Selain daripada mewujudkan satu pendekatan cintakan kebersihan, ianya juga dapat menjadi platform mendidik penduduk kampung yang tinggal berhampiran Sungai Petagas bersama-sama terlibat dengan gotong royong secara berterusan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai menerima penerangan daripada Annie (kanan) berhubung taklimat penganjuran World Cleanup Day yang akan diadakan di kawasan Kampung Petagas, pada 15 September hadapan. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat daripada Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA) bersempena anjuran World Cleanup Day di pejabatnya, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) baru-baru ini.

Hadir sama dalam sesi taklimat itu adalah Timbalan Presiden MASESA merangkap Ketua Penyelaras Program MASESA, Ainie Jamin.

Seramai 500 peserta dijangka menghadiri acara World Cleanup Day yang akan diadakan di kawasan sungai Kampung Petagas, Petagas, pada 15 September hadapan.

Untuk rekod, program World Cleanup Day atau dikenali sebagai Hari Pembersihan Sedunia itu adalah satu pergerakan untuk komuniti di seluruh dunia berganding bahu dalam mencapai usaha membersihkan pesisir pantai dan kawasan sekitar yang disambut  pada 15 September setiap tahun.

Uda dalam pada itu berhasrat menjadikan penyertaan DUN Petagas dalam projek komuniti bertaraf antarabangsa seperti World Cleanup Day tersebut dapat memberikan impak positif terhadap penduduk di daerah berkenaan.

“Dengan penyertaan kita dalam program bertaraf antarabangsa ini, saya berharap agenda berkenaan dapat diteruskan dari semasa ke semasa dalam skala sekali setiap minggu kerana mahu menjadikan Petagas sebagai kawasan bebas sampah di masa hadapan,” katanya.

Program World Cleanup Day Petagas akan dilaksanakan pada jam 8 pagi bertempat di Dewan Masyarakat Petagas dengan perasmiannya akan dilakukan oleh Uda sendiri selain melibatkan beberapa penyertaan daripada pihak Majlis Daerah Putatan (MDPTN) dan pihak sekolah yang berhampiran.

Selain itu, satu sesi kuliah maghrib bersempena kesedaran kebersihan turut akan diadakan di Masjid Nur Al Jannah, Kampung Petagas pada 14 September hadapan sebagai salah satu intipati program tersebut.-SabahNewsToday