Pilih Bahasa

Kerjasama risikan Malaysia, Indonesia banteras jenayah di perairan sempadan

Gambar Bernama

TAWAU, 24 Okt — Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan 255 kes tangkapan di perairan sempadan Tawau, Malaysia dan Nunukan, Indonesia dengan nilai rampasan RM3.07 juta bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kejayaan tangkapan serta rampasan itu disumbangkan termasuk faktor kerjasama risikan baik antara PPM dengan pasukan keselamatan Indonesia.

“Misalnya, 12 tangkapan kes direkodkan dibawah Akta Kastam 1967 dengan nilai rampasan RM1.56 juta, selain Akta Kawalan Bekalan 1961 mencatatkan 33 kes tangkapan (RM670,513.80),” katanya kepada pemberita selepas Program Rendezvous di perairan sempadan Tawau, Malaysia – Nunukan,Indonesia di sini, hari ini.

Program itu membabitkan pertemuan antara PPM dan Kepolisian Perairan dan Udara (Polairud) Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia.

Menurut Mohamad Pajeri, PPM dan pasukan keselamatan Indonesia mempunyai hala tuju yang selari dalam memerangi jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan rokok dan pendatang haram.

Mengenai program hari ini, Mohamad Pajeri berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama baik dengan pasukan keselamatan Indonesia dan berkongsi maklumat risikan bagi membanteras lebih banyak kes jenayah di kawasan masing-masing.

Di samping itu, katanya, turut dibincangkan pada pertemuan itu berkaitan kerjasama membabitkan ‘cari dan menyelamat’ sekiranya berlaku kemalangan laut di perairan sempadan.

Sementara itu, Ketua Polairud Kaltara, Indonesia, Erik Hermawan, mengharapkan platform kerjasama dua negara dalam aspek keselamatan itu dapat ditingkatkan seperti pertukaran maklumat risikan termasuk dadah dan terrorisme.

“Laut kita terbuka, daratan luas, kerjasama dua negara membolehkan pelaku jenayah ditangkap,” katanya lagi.

–BERNAMA