Pilih Bahasa

Kerjasama Sabah, Kalimantan jana ekonomi dua wilayah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Syed Abas (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Krishna Djelani di Bangunan Dun Sabah. – Gambar SNT/Ihsan Pejabat Dun Sabah

KOTA KINABALU: Kerjasama baik antara Sabah dan Kalimantan dijangka mampu meningkatkan lagi potensi ekonomi yang boleh diteroka antara dua wilayah tersebut, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali.

Menurut beliau, kedudukan Sabah khususnya Tawau yang terletak berhampiran Kalimantan bakal menjadi penggerak kepada pertumbuhan ekonomi antara dua negara berjiran itu.

Beliau berkata, kawasan Serundung di Tawau dan Kalimantan Utara adalah strategik dijadikan zon ekonomi sebagai inisiatif awal menyokong sektor perdagangan.

Katanya, lokasi Tawau yang strategik iaitu berhampiran dengan sempadan Indonesia harus dimanfaatkan sebaiknya bagi meningkatkan lagi ekonomi dan perdagangan melibatkan dua negara.

“Dengan adanya jaringan Lebuh Raya Pan Borneo nanti, ia bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya bahkan ia turut memberi impak kepada ekonomi masyarakat.

“Justeru, amat wajar kerajaan mengambil pendekatan awal dengan mewujudkan zon ekonomi bagi menggalakkan perdagangan dua hala antara Tawau dan Kalimantan Utara yang secara tidak langsung turut memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat untuk menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu,  Krishna Djelani di Bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Sulit kepada Speaker Dun Sabah, Sainin Mirin dan Staf Teknis Imigrasi Konsul Jeneral Republik Kota Kinabalu (KJRKK), Mohd Soleh Abdul Rahim.

Menurut Syed Abas, berikutan kekangan dan masalah sistem barter di perairan pantai timur Sabah, Kalimantan menjadi antara jalan penyelesaian terbaik dalam menjalin lebih banyak kerjasama ekonomi serantau.

“Satu kaedah baharu harus diterokai bagi memastikan Tawau terus berkembang maju. Berikutan terdapat kekangan untuk menjalankan perdagangan di laut sehingga menjejaskan sesetengah perniagaan, pembukaan laluan darat harus diberi pertimbangan demi menjamin pertumbuhan ekonomi di Tawau,” katanya.

Justeru, beliau turut yakin suatu tindakan proaktif melibatkan kedua-dua sempadan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan Sabah lebih ke hadapan selari dengan peredaran ekonomi semasa. – SabahNewsToday