Pilih Bahasa

Kerjasama sebagai satu pasukan

Lawatan ke pasar tani Kampung Serkat Pontian bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) yang turut disertai Arifin (kiri) beramah mesra dengan para peniaga. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

PONTIAN : Kerjasama sebagai satu pasukan adalah kunci kepada kejayaan dalam perjuangan bagi mendapatkan sesuatu kejayaan.

Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Arifin Mohd Arif berkata semangat kerjasama dalam perjuangan parti juga adalah antara aspek utama yang diperlukan dan menjadi kunci kejayaan kepada sesebuah parti.

“Kita tidak boleh melihat perjuangan khasnya perjuangan parti melalui kaca mata halus yang hanya memikirkan tentang diri sendiri, tetapi perlu bekerjasama secara berpasukan tanpa mengira apa suku kaum sekalipun kerana matlamat asas dalam perjuangan parti adalah keserasian dan penyatuan hati ahli-ahlinya.

“Selain itu, kerjasama berpasukan khasnya dalam kerja untuk melestarikan perjuangan parti supaya diketahui oleh para pengundi juga adalah aspek penting dan kerana juga Bersatu Sabah berada di sini untuk berjuang dan bekerjasama sebagai satu pasukan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi usaha untuk mendekati pengundi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai akan datang,” katanya selepas Program Ziarah Kasih di Kampung Chokoh Serkat Pontian Tanjong Piai kelmarin.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kimanis berkata aktiviti turun padang dan melihat permasalah pengundi mampu membuatkan ahli-ahli parti lebih dekat dan memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Jika kita bekerjasama memberi maklumat dan mendekati rakyat di semua kawasan, tentunya kita mampu memberi lebih pemahaman kepada rakyat tentang perjuang kita,” katanya yang turut hadir dalam program ziarah ke Kampung Chokoh Serkat Pontian.

Antara pengisian menarik sepanjang sesi ziarah itu ialah bertemu kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU), warga emas uzur, ibu tunggal dan pesakit kanser usus.

Dalam acara berlainan, Arifin dan jentera Bersatu Sabah turut mengiringi calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini beramah mesra dengan pata peniaga di Pasar Lambak Tanjong Piai.

Turut sama dalam sesi ziarah tersebut ialah beberapa pemimpin Bersatu Sabah iaitu Ketua Armada, Mohd Isquzawan Arsit; Timbalan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Amisah Yassin; Penolong Setiausaha Srikandi, Datuk Redonah Bahanda dan Setiausaha Ekskutifnya, Datuk Armizan Mohd Ali. – SabahNewsToday