Pilih Bahasa

Kerjasama semua parti kerajaan perlu, tingkat kemajuan negeri

Oleh Alfred Petrus

PENAMPANG: Kerjasama antara semua parti kerajaan negeri sangat penting dalam memastikan tampuk pemerintahan masa kini terus relevan, kukuh dan stabil.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menekankan bahawa semua parti yang membentuk kerajaan itu perlu ada persefahaman dan harus dipertingkatkan demi kemajuan negeri.

Mohd Shafie bersama para pemimpin Upko memotong kek ulangtahun Upko. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Jika terdapat kerjasama dan persefahaman dalam pemerintahan kita maka kerajaan dapat menuntut hak-hak Sabah yang sepatutnya.

“Selain itu, kita beri keutamaan adalah keperluan rakyat seluruh negeri dan sebagai kerajaan yang stabil kita akan teruskan tuntut hak-hak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena Majlis Ulang Tahun Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), di Pusat Kebudayaan Penampang, hari ini.

Sementara, itu beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata banyak cabaran dan rintingan yang perlu ditempuhi untuk memastikan sesebuah parti terus kekal relevan.

“Saya tahu banyak cabaran yang dihadapi Upko sejak ditubuhkan namun parti ini telah berjaya melahirkan ramai pemimpin sama ada diperingkat negeri mahupun persekutuan.

“Contohnya Presiden Kehormat Upko, Tan Sri Bernard Giluk Dompok yang pernah menjadi Ketua Menteri dan menteri di peringkat persekutuan,” katanya.

Jelasnya dengan adanya parti-parti yang bergabung untuk memastikan janji-janji dapat direalisasikan, maka segala tuntutan kerajaan negeri memungkinkan ia turut dikecapi.

Turut hadir Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ahli Majlis Tertinggi parti berkenaan. -SabahNewsToday