Pilih Bahasa

Kerjasama semua perlu jadikan SK Monsok Tengah cemerlang

TAMBUNAN:  Kerjasama dan perpaduan di antara ibu bapa, masyarakat kampung dan kepimpinan sekolah termasuk semua guru-guru menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Monsok Tengah antara sekolah yang cemerlang di negeri Sabah.

Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan  (PPD) Haison Jahudin berkata kerjasama yang padu itu perlu diteruskan kerana inilah kunci utama kecemerlangan sekolah ini selama ini.

Haison(duduk tengah) bersama warga pendidik dan PIBG SK Monsok Tengah, Tambunan.Gambar SNT/Ihsan Kgufm

Katanya kecemerlangan sekolah yang semakin menyerlah ini tidak berterusan jika kerjasama dan perpaduan dikalangan ibu bapa dan warga sekolah tidak berkekalan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Ceramah Motivasi Kecemerlangan UPSR 2019 SK Monsok Tengah dekat sini kelmarin.

Mengenai program itu Haison berkata ia sangat memberikan impak yang besar terhadap kemenjadian murid di sekolah berkenaan khususnya dalam pencapaian UPSR pada tahun ini.

Katanya program ini juga memberikan impak yang besar khususnya kepada ibu bapa yang telah sama-sama mengikuti program ini supaya mereka lebih faham dan tahu apa yang perlu dibuat semasa mereka berada serta dapat membantu anak-anak di rumah dan seterusnya di sekolah.

Dalam masa yang sama beliau mengucapkan ribuan terima kasih khususnya pihak pentadir sekolah yang telah mengatur program ini sehingga berjaya dilaksanakan begitu juga dengan pegawai  dari PPD Tambunan dan seluruh ibu bapa yang memberi kerjasama penuh dalam program ini.

Guru Besar sekolah itu turut memaklumkan bahawa tiga buah bangunan di sekolah itu memerlukan pemabaikan yang membabitkan struktur bangunan.

Katanya untuk pembaikan sekolah ini kita masih lagi menunggu peruntukan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah namun jumlah peruntukan kita belum muktamadkan kerana kita ia memerlukan anggaran kos yang lebih terperinci.

Beliau berkata setakat ini tiga buah rumah guru sudah dibaiki  tetapi ia tidak melibatkan struktur hanya pembaikan-pembaikan kecil sahaja.

Sementara itu Guru Besar sekolah itu Raphael Yahyo berkata Ceramah Motivasi Kecemerlangan UPSR 2019 SK Monsok Tengah dapat meningkatkan pencapaian murid-murid tahun 6 pada tahun ini dan seterusnya sekurang-kurangnya dapat mengekalkan pencapaian cemerlang pada tahun lalu.

Katanya program ini diamalkan setiap tahun dan hasil daripada program yang dijalankan pada tahun sebelumnya memang amat baik dan dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang kepada murid-murid tahun 6 di sekolah ini.

Beliau berharap program ini dengan bantuan pegawai-pegawai daripada PPD Tambunan dapat meningkatkan pencapaian murid-murid tahun 6 pada tahun ini.

Terdahulu Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SK Monsok Tengah Simon Sulom mengucapkan ribuan terima kasih kepada penceramah program itu Linda Cladius Juing yang juga Ketua Unit Psiokologi dan Kaunseling PPD Tambunan kerana memotivasikan ibu bapa dan juga murid.

Katanya program ini sungguh bermakna sekali kerana semua ibu bapa SK Monsok Tengah dapat mendengar ceramah daripada pakar Psiokologi dan Kaunseling itu.

“Ia bermanfaat sekali dan membuka minda kepada ibu bapa. Kita berharap ia akan diteruskan dan bukan sahaja khusus tahun 5 dan 6  tetapi pada masa akan datang atau tahun hadapan ia dibuat secara menyeluruh kepada ibu bapa dan semua murid termasuk tahap satu,” jelasnya.

Beliau berkata program ini amat bermanfaat sekali kerana selama ini ibu bapa tidak sedar dan mereka tidak tahu cara pendidikan di rumah dan bagaimana menangani disiplin atau kelakuan anak-anak di rumah atau pun di luar sekolah.

Hadir sama Guru Cemerlang Sains Daerah Tambunan Walter Linggahan Sogudil dan guru-guru penolong kanan sekolah itu.-SabahNewsToday