Pilih Bahasa

Kerosakan PPR Batu Sapi perlu segera dibaiki

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Kerosakan atap di bangunan PPR akibat hujan lebat dan angin kencang kira-kira dua bulan lalu. – Gambar SNT / Ehsan Pembaca

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan diminta membaik pulih sebanyak tujuh buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi yang menghadapi masalah penyelenggaraan.

Ketua Puteri Umno Batu Sapi, Hazulizah Mohd Dani berkata tiga daripada bangunan PPR itu mengalami kerosakan teruk pada Ogos lalu dan perlu diperbaiki dengan segera.

Keadaan kerosakan atap pada bangunan PPR Batu Sapi. – Gambar SNT / Ehsan Pembaca

“Bahagian atap bangunan itu tercabut ekoran hujan lebat dan angin kencang kira-kira dua bulan lalu. Bagaimanapun sehingga hari ini ia masih belum dibaiki lagi.

“Keluarga yang mendiami tiga buah rumah itu tidak dapat mendiami rumah mereka dan terpaksa menyewa di kedai PPR Batu Sapi dan membayar sewa selama dua bulan.

“Mereka mempunyai anak kecil dan atas faktor keselamatan terpaksa menyewa di luar kerana rumah itu tidak selamat untuk di diami. Justeru, saya minta PBT untuk menangani masalah ini. Saya menyeru MPS supaya mempercepat pembaikan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bagi meringan bebanan kepada keluarga mangsa yang terkena bencana tersebut di Sandakan.

Hazulizah turut menyuarakan kekecewaan terhadap kelemahan PBT yang menjadi punca kemerosotan kualiti penyelenggaran bangunan PPR Batu Sapi.

Ini merupakan Program Ziarah kedua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Batu Sapi di tempat tersebut. – SabahNewsToday