Pilih Bahasa

KES CURI ELEKTRIK DI 11 PREMIS, SESB ALAMI KERUGIAN RM220,000

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami kerugian kira-kira RM220,000 berikutan kes curi elektrik di 11 premis sekitar bandaraya ini dan Penampang.

Nilai kerugian terbabit adalah bagi tempoh empat hingga 30 bulan melibatkan semua premis yang terdiri daripada kedai serbaneka, kedai urut, tayar dan aksesori kenderaan.

Timbalan Pengarah Kanan Suruhanjaya Tenaga (ST), Ir Shafie Mohamed (tiga dari kanan) menunjukkan meter elektrik yang dirampas di beberapa premis dalam Operasi Bersepadu SESB Bersama ST di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Timbalan Pengarah Kanan Suruhanjaya Tenaga (ST), Ir Shafie Mohamed berkata menerusi serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan sempena Operasi Bersepadu SESB Bersama ST itu, pihaknya mendapati wujud bukti usikan pada meter atau kabel elektrik di semua premis berkenaan.

“Kaedah yang sering digunakan untuk curi elektrik di premis perniagaan sering membabitkan pintasan, usikan dan merosakkan meter.

Timbalan Pengarah Kanan Suruhanjaya Tenaga (ST), Ir Shafie Mohamed (tiga dari kanan) menunjukkan taktik mencuri elektrik yang dilakukan di beberapa premis dalam Operasi Bersepadu SESB Bersama Suruhanjaya Tenaga di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Usikan yang dibuat ini mengakibatkan meter elektrik tidak dapat merekodkan nilai bacaan keseluruhan tenaga yang sudah digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media hasil Operasi Bersepadu SESB Bersama ST, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Penolong Pengarah Kanan ST, Jefry Nuri, Penolong Pengarah ST, Roslan Ahmad Tajri, Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Norhizami Abu Hasan dan Pengurus besar (Pembahagian) SESB, Ir Addie Ahmad.

Dilaksanakan selama dua hari pada 5 dan 6 Mac lalu, lokasi operasi termasuklah Lokawi, Inanam dan Penampang.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut merampas beberapa alat digunakan bagi tujuan curi elektrik selain kabel tambahan untuk membuat pintasan.

Dalam pada itu, Shafie menyatakan individu boleh didenda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Norhizami berkata pihaknya akan terus melaksanakan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa dalam usaha menangani masalah sama daripada terus berlanjutan.

“Kita juga merancang bagi melaksanakan operasi ini ke seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan selain melakukan pemantauan berterusan.

“Bagaimanapun, kita turut meminta orang awam supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan curi elektrik di kawasan masing-masing,” katanya. -SabahNews Today