Pilih Bahasa

Kes mayat lelaki ditemukan di parit, suspek melanggar serah diri

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Mayat seorang lelaki dengan kesan luka di kepala yang ditemui di kawasan parit, tepi jalan Batu 6, Jalan Utama Kampung Cocos, dekat sini, pagi tadi diklasifikasikan sebagai kes kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata ia susulan seorang lelaki yang disyaki melangggar mangsa berusia 54 tahun tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah ini pukul 4.15 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor. Gambar Fail SNT

Beliau berkata hasil siasatan yang dijalankan, suspek memandu kenderaan jenis Toyota Rav4 sedang dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke rumahnya di Kampung Cocos pukul 9.30 malam.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, keadaan jalan ketika itu gelap hingga mengakibatkan suspek terlanggar sesuatu (mangsa).

“Mangsa kemudian meneruskan perjalanannya dan pagi tadi selepas mendengar kehadiran polis di lokasi dan menemui mayat lelaki, suspek terus bertindak hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dan menyerah diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif.

“Suspek kini ditahan direman dan disiasat dibawah Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai,” katanya.

Terdahulu, mayat seorang lelaki dengan kesan luka di kepala ditemui di kawasan parit, tepi jalan Batu 6, Jalan Utama Kampung Cocos, dekat sini, pagi tadi.

Dompet mangsa ditemui di lokasi kejadian namun tiada dokumen diri diperoleh.

Bagaimanapun terdapat sekeping gambar seorang wanita di dalam dompet mangsa dan pihak polis meminta wanita berkenaan tampil ke balai polis untuk membantu siasatan. – SabahNewsToday