Pilih Bahasa

Kes pukul, dua lelaki tempatan ditahan polis di Ranau

RANAU: Dua lelaki tempatan, 37-50 ditahan polis bagi membantu siasatan kes pukul ke atas seorang lagi lelaki tempatan di Kampung Nopung 1 di sini pada 18 Jun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Datuk Haji Abdul Wahab kedua-dua suspek telah direman selama empat hari bermula 21 Jun di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

DSP Mohd Shahrul. Gambar Fail SNT

Mereka telah ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau lebih kurang jam 6 petang di Kampung Nopong 1 di sini pada 20 Jun 2019.

“Bagaimanapun, tempoh reman ke atas suspek telah dilanjutkan selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Jun 2019 untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas mangsa,” katanya.

“Berdasarkan keterangan pegawai perubatan terhadap tahap kecederaan mangsa, kes ini telah diklasifikasikan semula dan siasatan kini dibuat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa,” katanya.

Dalam kejadian 17 Jun lalu, mangsa mengalami kecederaan dalaman dipercayai dipukul salah seorang dari suspek.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Ranau sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth, mengatakan mangsa mengalami kecederaan kecederaan tahap gred dua pada usus dan limpah sebelah kiri mangsa. Kedua-dua kesan kecederaan dalaman mangsa adalah disyaki akibat dipukul.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu, diminta menghubungi Balai Polis Ranau ditalian telefon 088-875222 atau tampil di mana-mana Pondok Polis atau Balai Polis berdekatan,” kata DSP Mohd Shahrul.-SabahNewsToday