Pilih Bahasa

Kes samun dan bunuh pemandu Grab semasa ramadan membimbangkan: AMK PKR KB

KOTA BELUD: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang PKR Kota Belud memandang serius kejadian pembunuhan pemandu Grab, Mohamad Hanafie Jaafar yang berasal dari sini baru-baru ini.

Ketua AMK PKR Kota Belud, Ramzis Datu Muddin berkata pimpinan AMK merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Taun Gusi, di sini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang PKR Kota Belud, Ramzis Datu Muddin. Gambar SNT/ Ihsan AMK Cabang PKR KB

“Kami turut berdukacita dengan kejadian ini kerana allahyarham adalah anak muda yang baik dan suka berdikari untuk menjana pendapatan sendiri. Allahyarham juga merupakan saudara sepupu kepada Mohamad Nuh Nuid, iaitu Timbalan Ketua AMK Kota Belud merangkap Setiausaha Cabang.

Menurutnya, kes kejam yang berlaku semasa bulan Ramadan yang mulia ini cukup membimbangkan dan memberi implikasi yang tidak baik serta mencerminkan kegagalan institusi kekeluargaan.

“Bulan ramadan sepatutnya menjadi bulan mendidik anak-anak muda supaya menginsafi diri dan mendekati Tuhan namun warga belia ini sanggup melakukan kekejaman luar batas tanpa ada rasa keperimanusiaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ramzis berkata kes ini memberi ingatan kepada semua agar memberi perhatian dan mendidik anak-anak agar menjadi insan dan warganegara yang baik.

“Semua pihak perlu belajar daripada kes ini dan menyemak semula keberkesanan pendekatan dalam mendidik generasi yang semakin tidak efektif dengan pelbagai cabaran.

“Ibubapa terutamanya perlu memantau kegiatan anak-anak mereka dan memahami keperluan mereka,” katanya.

AMK Kota Belud akan meneruskan agenda untuk mendekati warga belia agar dapat mengurangkan kes-kes gejala sosial di daerah ini, katanya.

“Diharap juga agar pihak polis dapat merungkai kes ini dan badan kehakiman dapat menjatuhkan hukuman setimpal agar menjadikan kes ini sebagai pengajaran penting kepada masyarakat khususnya warga belia,” tambahnya lagi.

Terdahulu dilaporkan dua pemuda telah mengaku menyamun dan membunuh Mohamad Hanafie yang di temui dalam keadaan mengharukan di Tuaran dua hari lepas.

Seorang lagi suspek juga belia sedang di cari oleh pihak polis untuk membantu siasatan.-SabahNewsToday