Pilih Bahasa

KES SAMUN DI MANGGATAL, ENAM LELAKI TEMPATAN DITAHAN

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seramai enam lelaki tempatan ditahan dipercayai terlibat dalam kes samun seorang lelaki Cina berumur 47 tahun di Kampung Darau Lama, Manggatal pada 7 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata tangkapan pertama berjaya dibuat pada hari kejadian kira-kira pukul 10.30 malam di sekitar Manggatal.

Antara barangan rampasan pertama yang dibuat. Gambar SNT/Ehsan Polis

Tambahnya kesemua suspek yang ditangkap berumur antara 19 hingga 39 tahun.

“Hasil rampasan daripada tangkapan suspek pertama adalah sebuah beg silang warna hitam, dua buah telefon bimbit, satu keping sampul warna merah mengandungi wang tunai sejumlah RM150, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 beserta serangai kuncinya digunakan semasa kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah). Gambar Fail SNT/Mohd Adam Arinin

“Rampasan pada suspek kedua hingga keenam pula iaitu lima buah telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah beg silang jenama Arrow berwarna hitam.

“Kesemua suspek yang ditahan adalah untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Terdahulu, katanya hasil siasatan awal polis mendapati mangsa telah didatangi oleh beberapa orang lelaki lalu mangsa dipukul dari belakang menyebabkan mangsa telah pengsan dan tidak ingat apa yang berlaku.

“Beg mangsa yang mengandungi wang tunai lebih kurang RM8,000 dan telefon bimbit telah dibawa lari oleh suspek.

“Mangsa kemudian telah pergi ke rumah orang kampung berhampiran untuk meminta bantuan.

“Mangsa mengalami luka di belakang kepala sebelah kiri iaitu koyakan lebih kurang enam sentimeter dan masih berada di hospital Queen Elizabeth Dua untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Habibi menjelaskan kesemua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine selepas menjalani ujian air kencing.

“Kesemua tangkapan ditahan reman sehingga 14 Februari bagi reman pertama.

“Melalui tangkapan ini juga mendapati empat orang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. -SabahNewsToday