Pilih Bahasa

KESEDARAN KESIHATAN AWAM PERLU DITINGKATKAN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlinah Arif (tengah) bergambar beramai selepas merasmikan persidangan 50th Asia Pacific Academic Consortium for Republic Health (APACPH) 2018 di Magellan Sutera Habour Resort, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Malaysia telah mencapai prestasi yang mengagumkan dalam usaha bagi meningkatkan kesihatan rakyat negara itu.

Ini dibuktikan dengan petunjuk status kesihatan seperti bilangan daripada segi kelahiran telah meningkat sejak beberapa tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, petunjuk positif tentang prestasi sistem kesihatan keseluruhan seperti kadar kematian bayi dan kadar kematian ibu telah berkurang dengan ketara, setanding dengan sistem penjagaan kesihatan sempurna yang disediakan oleh kerajaan.

“Rakyat Malaysia menikmati standard atau tahap kesihatan yang agak tinggi. Kami mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang baik dan boleh diakses serta perkhidmatan yang komprehensif.

“Mengenai isu penyakit berjangkit, ia masih melanda banyak negara di dunia. Bagaimanapun, saya bangga untuk mengatakan, Malaysia telah berjaya mengatasi masalah penyakit ini dari masa ke semasa,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Konsortium Akademik Bagi Kesihatan Awam Asia Pasifik Ke-50, di sini hari ini.

Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlinah Arif (tiga dari kiri) memalu gong sebagai simbolik perasmian persidangan 50th Asia Pacific Academic Consortium for Republic Health (APACPH) 2018 di Magellan Sutera Habour Resort, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam majlis itu, Mohd Shafie diwakili oleh Pembantu Menteri Kesihatan dan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Norazlinah Arif.

Sebanyak 28 negara menyertai persidangan itu yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Mudin dan Dekan Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, penyakit berjangkit seperti Tibi, malaria, demam denggi dan HIV / AIDS masih merupakan ancaman utama kepada rakyat di negara ini.

“Oleh itu, seperti yang saya katakan, Konsortium Akademik Bagi Kesihatan Awam Asia Pasifik ini sangat berfaedah kepada semua negara di rantau Asia ini.

“Banyak pandangan dan perkongsian maklumat dapat dikongsikan bersama dalam persidangan ini terutama dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan penduduk di rantau ini selain untuk menangani gejala penyakit berjangkit dalam kalangan orang awam,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Shafie turut memuji UMS kerana berjaya menganjurkan persidangan itu yang banyak menyumbang ke arah meningkatkan kapasiti serantau untuk mengesan kualiti hidup dan menangani cabaran kesihatan awam yang utama. – SabahNewsToday