Pilih Bahasa

Keselamatan dan disiplin di Stadium Likas keutamaan Safa

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) akan mengutamakan aspek keselamatan di samping disiplin para penyokong dan pasukan Tambadau sendiri dalam setiap perlawanan bola sepak di Stadium Likas.

Persoalan sama ada, alat-alat seperti gendang akan dibenarkan di Stadium Likas pada musim ini akan diputuskan di peringkat keselamatan, kata Presiden Datuk Peter Anthony.

Datuk Peter Anthony ditemui media selepas majlis pelancaran jersi bola sepak Sabah dan pengenalan pemain di Pacific Sutera di sini semalam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita sebenarnya alu-alukan penyokong-penyokong datang tetapi apa yang kita utamakan di dalam stadium ialah keselamatan di samping disiplin kita sebagai tuan rumah.

“Ianya secara langsung menggambarkan bukan sahaja imej negeri tetapi juga pasukan kita iaitu mempunyai sikap yang begitu baik dan berdisiplin untuk pasukan lawan … Kita tidak mau unsur-unsur seperti keganasan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya musim ini gendang yang dipalu akan dibenarkan di setiap perlawanan Tambadau di Stadium Likas.

“Apa sahaja usaha baik untuk pembangunan bola sepak itu kita akan pertimbangkan secara baik cumanya banyak bantahan daripada awal pembentukan pasukan (Tambadau Sabah) tetapi itu sebenarnya bukanlah masalah bagi Safa.

“Yang penting usaha kita sama-sama membangunkan bola sepak negeri seterusnya mendapatkan sekurang-kurang satu piala pada tahun ini,” ujarnya.-SabahNewsToday