Pilih Bahasa

Kesepakatan rakyat majmuk terserlah pada sambutan Hari Malaysia 2019

Gambar Bernama

KUCHING, 16 Sept  — Kesepakatan rakyat majmuk dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah jelas terserlah di Bumi Kenyalang apabila 10,000 hadirin memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, malam ini.

Walaupun keadaan berjerebu, seawal 5.30 petang orang ramai mula membanjiri pekarangan stadium untuk menyaksikan prapersembahan antara lain persembahan daripada penyanyi tempatan dan koir yang bermula pada jam 7 malam.

Sambutan itu yang sebelum ini dijadual diadakan di tempat terbuka di Padang Merdeka di sini, tidak menghalang orang ramai memenuhi setiap inci stadium tertutup berkenaan menanti ucapan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan amanat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di samping berhibur dengan persembahan yang diatur.

Paling menarik adalah persembahan mengikut era yang turut menampilkan kereta Proton Saga berwarna merah, kereta nasional pertama negara yang diperkenalkan sewaktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat mengimbau kembali sejarah pembentukan dan kemajuan negara.

Kemeriahan sambutan dengan semangat patriotisme kian membara dalam kalangan hadirin dengan perarakan masuk peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang membawa masuk Jalur Gemilang dan diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun  Abdul Taib Mahmud untuk upacara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi lagu Negaraku dan Malaysia Bersih.

Acara sambutan diteruskan dengan persembahan khas bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih yang merangkumi persembahan kebudayaan, tarian dan nyanyian.

Antara keunikan persembahan yang disajikan termasuk ‘shadow play’, tayangan video mengenai sejarah pembentukan Malaysia diikuti acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2019.

Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri,Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta barisan anggota Kabinet Persekutuan, Sarawak dan Sabah, ketua-ketua agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta delegasi luar negara.

Sementara itu, di pusat bandar, orang ramai yang tidak berpeluang mengunjungi sambutan itu stadium telah menyaksikan perarakan sebanyak enam buah kereta berhias yang bermula pada jam 8.30 malam sehingga 11 malam yang melalui Tebingan Kuching.

Perarakan kereta berhias itu turut disiarkan secara langsung untuk tontonan para hadirin di Stadium Perpaduan.

— BERNAMA