Pilih Bahasa

Kesihatan Tam, badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia membimbangkan

Badak sumbu Sumatera dirawat oleh para sukarelawan di Rizab Hidupan LIar Tabin. – Gambar SNT/Ihsan JHLS

KOTA KINABALU, 19 Mei (Bernama) – Tam satu-satunya badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia kini dalam keadaan tidak sihat, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Christina Liew.

Beliau berkata tahap kesihatan Tam kini semakin serius (merosot) dan membimbangkan.

“Selera dan keaktifan Tam telah menurun secara tiba-tiba sejak penghujung April lepas dan kini Tam akan diberikan ubat setiap hari kerana terdapat organ dalamannya tidak berfungsi dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Tam telah ditangkap di Kretam pada Ogos 2008 dan telah dibawa keluar dari hutan yang telah menjadi ladang kelapa sawit.

“Tam kemudiannya di bawa ke Rizab Hidupan Liar Tabin. Tam merupakan salah satu badak sumbu Sumatera yang ada di Malaysia selain Iman yang merupakan satu-satunya badak sumbu Sumatera betina di Malaysia,” katanya.

Pada Jun 2017, Puntung, satu daripada tiga badak sumbu Sumatra terakhir di Malaysia ketika itu, mati akibat menderita barah sel skuamus atau barah kanser kulit di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin.

Sejurus sebelum itu haiwan itu diberi rawatan suntikan menerusi operasi euthanasia.

— BERNAMA