Pilih Bahasa

Ketagih judi, lelaki bunuh diri di Simpang Mengayau

Oleh Junaidi Ladjana

KUDAT: “Saya minta maaf kepada keluarga dan saudara mara saya bunuh diri sebab terlampau ketagih bermain judi.”

Itulah nota dalam bahasa Cina ditinggalkan lelaki yang ditemui mati di dalam kereta jenis Perodua Axia di kawasan parkir sebuah pusat peranginan di Simpang Mengayau, di sini semalam.

Lelaki ditemui mati di dalam kereta dipercayai akibat terhidu asap daripada arang batu yang dibakar di dalam kenderaan berkenaan. Gambar SNT/Sumber media sosial

Mayat lelaki berusia 31 tahun beralamat di Taiping, Perak, ditemui tidak sedarkan diri dipercayai lemas akibat terhidu asap daripada arang batu yang dibakar dalam kenderaan berkenaan.

Susulan kejadian itu, orang awam kemudian menghubungi pihak polis kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata sebaik menerima panggilan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat ke lokasi kejadian untuk siasatan dan pemeriksaan.

“Lelaki itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap daripada arang yang dibakar dalam kenderaan yang disewanya.

Kereta di mana lelaki tersebut ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Gambar SNT/Ihsan IPD Kudat

“Pemeriksaan seterusnya turut menemui satu nota kecil dalam bahasa Cina yang bermaksud “Saya minta maaf kepada keluarga dan saudara mara saya bunuh diri sebab terlampau ketagih bermain judi.”

“Seterusnya mayat mangsa kemudian dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Firdaus berkata siasatan mendapati mangsa yang bekerja di sebuah restoran di Kota Kinabalu datang ke kawasan berkenaan dengan sebuah kereta Perodua Axia pada tengah malam sebelum mangsa ditemui mati oleh orang awam.

“Siasatan juga mendapati tidak ada unsur jenayah dan barangan milik mangsa seperti dompet dan telefon miliknya ditemui.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut ,” katanya. -SabahNewsToday