Pilih Bahasa

Ketua Cawangan dan ahli Upko Kampung Penampang Baru sertai Bersatu

Samson dan bekas ahli Upko menyerahkan borang keahlian kepada Hajiji (tengah). – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

TUARAN:  Kerana hilang kepercayaan dengan perjuangan Upko, Ketua Cawangan Upko Kampung Penampang Baru, Samson Sipulin bersama kira-kira 40 ahlinya telah mengisytiharkan keluar dari parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkuatkuasa hari ini.

Samson yang juga mantan ketua kampung tersebut telah menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tuaran pada majlis perasmian Pembukaan Cawangan Bersatu Kampung Penampang Baru di Dewan Serbaguna kampung itu, hari ini.

Dengan penyertaan Samson dan ahli-ahlinya ke dalam Bersatu maka Upko Cawangan Kampung Penampang Baru dibubarkan dengan rasminya.

Samson berkata, keputusan beliau bersama ahli-ahli cawangan itu meninggalkan Upko kerana telah hilang kepercayaan terhadap perjuangan Upko telah lari daripada perjuangan asalnya.

“Keputusan kepimpinan Upko menukar nama parti daripada Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu ke Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu menjadikan Upko semakin tidak relevan kepada masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM),” katanya.

Hajiji (tengah) menerima borang keahlian daripada Samson (dua dari kiri). – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

Sementara itu Hajiji dalam ucapannya mengalu-alukan penyertaan Samson bersama pengikutnya ke dalam Bersatu untuk bersama-sama mendokong perjuangan Bersatu.

“BERSATU membawa pendekatan politik yang inklusif untuk semua masyarakat di Sabah, khususnya kaum pribumi.

Sejak dari awal penubuhan, Bersatu telah menzahirkan pengiktirafan kepada masyarakat pribumi di Sabah secara tersurat dalam Perlembagaan parti itu sendiri.

“Ini menjadikan Bersatu sebagai sebuah parti bertaraf nasional yang memastikan undang-undang tubuh parti meletakkan kedudukan pribumi Sabah pada tempat yang sewajarnya bertepatan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah”, katanya

Hajiji berkata, Bersatu Sabah komited dan berkerjasama dengan parti-parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) dan juga Parti Warisan Sabah (Warisan). – SabahNewsToday