Pilih Bahasa

Ketua Hakim Negara pertama dari Sabah bersara hari ini

Tan Sri Richard Malanjun. Gambar Fail SNT

PUTRAJAYA, 12 April (Bernama) — Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum bersara hari ini selepas berkhidmat selama 27 tahun dalam badan kehakiman.

Malanjum, anak kelahiran Sabah pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman itu, berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara selama sembilan bulan, dan 12 tahun selaku Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau mencapai umur persaraan wajib pada usia 66 tahun, Oktober tahun lepas, dan dilanjutkan selama enam bulan berakhir hari ini.

“Kepada semua rakan hakim saya, berikan yang terbaik dan jangan mengharapkan apa-apa!,” dalam kata perpisahannya.

“Bagi saya…saya akan terus membantu mereka yang tidak bernasib baik dan terpinggir dalam apa jua cara yang mungkin.”

Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara kesembilan pada 11 Julai tahun lepas, menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada bulan yang sama.

Pegawai khasnya, Mohd Aizuddin Zolkeply berkata Malanjum telah mengambil cuti awal minggu ini dan kini berada di luar negara.

Malanjum menyertai perkhidmatan kehakiman pada 1992 sebagai Pesuruhjaya Kehakiman. Beliau pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan seterusnya Hakim Mahkamah Persekutuan.

Malanjum memperkenalkan konsep pengurusan bersama dan berkumpulan, di mana hakim yang memegang empat jawatan tertinggi (Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak) diberikan kuasa dan tanggungjawab sama dalam segala hal berkaitan dasar serta penyertaan dalam pengurusan badan kehakiman.

Beliau juga melaksanakan sistem “time sheet” di mahkamah di Semenanjung, iaitu sebuah sistem secara berkomputer bagi menggalakkan pengurusan masa mahkamah yang lebih berkesan dalam kalangan hakim dan pegawai kehakiman.

Sistem berkenaan sebelum itu diperkenalkan Malanjum di mahkamah di Sabah dan Sarawak, ketika menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau juga memperkenalkan E-review, sistem pengurusan kes dalam talian tanpa kehadiran pihak-pihak dalam kes mahkamah untuk pengurusan kes.

Bagi mengelak sebarang dakwaan dan elemen negatif dalam pembahagian kes dan pemilihan panel hakim, Malanjum juga melaksanakan pemilihan panel Hakim Mahkamah Persekutuan melalui pengundian untuk mendengar kes-kes di Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga membuat perubahan mengenai bilangan hakim sebagai panel di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar kes-kes melibatkan perlembagaan dan kepentingan awam.

— BERNAMA