Pilih Bahasa

Ketua Menteri hadir Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1441H/2020

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Peserta Qari dan Qariah yang memperdengarkan bacaan Al-Quran pada malam ketigaMajlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1441H/2020 di SICC. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1441H/2020 malam ini dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Mengiringi Mohd Shafie ialah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar dan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai.

Mohd Shafie (duduk, tengah) pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1441H/2020. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Malam ketiga tilawah yang dihadiri kira-kira 5,000 orang menyaksikan seramai tujuh lagi peserta Qari dan Qariah memperdengarkan bacaan mereka dengan mengalunkan Taranum Wajib Nahawan dan Rast, Nahawand dan Jiharka, Nahawand Soba dan Nahawand Sika.

Dalam kategori Qari, wakil Perlis iaitu Muhammad Anas Abdul Hadi membacakan ayat 121 juzú lapan surah Al An’am; Hadi Mohd Sharkawi dari Sarawak (ayat 54 juzú lapan) surah Al A’Raf; Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir wakil Pulau Pinang (ayat 72 juzú 6) surah Al Ma’idah dan peserta Wilayah Persekutuan, Muadzeen Ackil pula membacakan ayat 59 juzú tujuh surah surah Al An’am.

Seorang penonton turut bersama membaca surah yang dibacakan oleh peserta pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1441H/2020. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu dalam kategori Qariah, seramai tiga peserta turut memperdengarkan bacaan pada malam ini.

Mereka ialah Norhanani Ayob (Pahang) ayat 94 juzú sembilan surah Al A’raf; Nor Husna Mohammad Saleh (Perlis) ayat 194 juzú sembilan surah Al A’raf dan Nor Faizah Panut dari Selangor membacakan ayat 185 juzú sembilan surah Al A’raf.

Sebahagian penonton yang hadir pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1441H/2020 di SICC. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Majlis tilawah bersambung malam esok dengan beberapa lagi peserta akhir bakal memperdengarkan bacaan Al-Quran bermula pukul 8.30 malam. – SabahNewsToday