Pilih Bahasa

Ketua Menteri nafi orang Semporna bolot semua jawatan kanan kerajaan negeri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Hanya lapan daripada 120 jawatan kanan dalam kerajaan negeri dijawat individu asal Semporna manakala selebihnya dipegang pemimpin pelbagai kaum lain di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jumlah ini hanya sebilangan kecil sahaja dari 120 jawatan kanan yang terdapat dalam kerajaan.

Mohd Shafie menerima cenderamata daripada Darell. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Jawatan berkenaan termasuklah pegawai daerah, setiausaha kerajaan negeri, setiausaha tetap kementerian Kewangan dan pegawai kanan kepada setiausaha tetap selain hanya seorang sahaja memegang jawatan setiausaha tetap.

“Saya sudah sebaik mungkin menambahbaik sistem pentadbiran  sejak diberi peluang memimpin Sabah.

“Ia termasuklah meletakkan seseorang individu yang mempunyai kredibiliti untuk memegang sesuatu jawatan malahan rombakan di peringkat perkhidmatan awam juga dilaksanakan haruslah berdasarkan merit yang ada.

“Apabila tular menyatakan semua jawatan kanan yang terdapat di Sabah dipegang oleh orang Semporna, ia pastinya tidak benar,” katanya ketika berucap sempena Majlis Ramah Mesra Sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Penampang, di sini, malam semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusuf Yacob, Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Mengulas lanjut mengenai berita tular itu, Mohd Shafie menyatakan tuduhan itu dilihat sengaja ditimbulkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mencemarkan imej kerajaan negeri yang ada kini.

“Semua dilakukan kerajaan sebelum ini sudah jelas. Ketua Menteri Sabah ialah Tan Sri Musa Aman manakala adiknya, Datuk Seri Anifah Aman pula menjawat menteri luar.

“Dasar pemerintahan terdahulu juga adalah mengambil tanah rakyat dan diberikan kepada kroni. Bagaimanapun, semua dihapuskan sejak beliau mentadbir Sabah.

“Saya sudah beritahu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang ini. Kita dalam kerajaan sejak saya ambil alih tiada seinci pun tanah saya ambil sebagai Ketua Menteri untuk kepentingan peribadi,” katanya. –SabahNewsToday