Pilih Bahasa

Ketua Menteri tidak pernah luluskan lesen sabung ayam

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak pernah meluluskan mana-mana lesen perjudian dan sabung ayam di negeri ini.

Gambar di sebelah kiri merupakan gambar sebenar manakala yang satu lagi telah digubah. Gambar komposit SNT

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang juga Ketua Menteri, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata gambar dengan perkataan kononnya lesen sabung ayam telah diluluskan oleh Ketua Menteri merupakan gambar gubahan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada gambar yang diambil semasa sidang media Ketua Menteri Sabah bersama-sama dengan Menteri Pendidikan dan Inovasi, Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi dan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah sewaktu Majlis Perasmian Bangunan Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru pada 25 Julai.

Gambar yang telah digubah dengan latarbelakang birunya telah ditukar dan di bahagian bawah ditambah dengan perkataan bohong. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Kewangan

Gambar tersebut telah ditambah dengan logo Perpustakaan Negeri Sabah dan latarbelakangnya diganti dengan logo Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, Parti Warisan Sabah dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Antara tambahan lain ialah perkataan “Ketua Menteri Sabah Datu Shafie bin Haji Apdal Telah Meluluskan Lesen Sabung Ayam Di Sabah.”

Gambar sebenar yang diambil semasa sidang media Ketua Menteri sempena perasmian bangunan baharu Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Tanjung Aru pada 25 Julai lalu. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Kewangan

Sehubungan itu, Jo-Anna menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai serta menularkan perkara yang tidak pasti kesahihannya.-SabahNewsToday