Pilih Bahasa

Ketua penaja 25 bahagian Bersatu Sabah terima watikah pelantikan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah melantik kesemua 25 ketua penaja bahagiannya di Sabah.

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Lafaz Ikrar Ketua-Ketua Penaja Pimpinan Bahagian Bersatu Sabah bersempena Majlis Iftar Bersatu peringkat nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Tun Mahathir (kiri) menyaksikan upacara lafaz ikrar daripada ketua-ketua penaja bahagian Bersatu Sabah termasuk Datuk Hajiji Noor (tiga kiri) dan Datuk Masidi Manjun (empat kiri). Gambar SNT/Ihsan Bersatu

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamed yang juga Perdana Menteri.

Majlis tersebut diadakan berikutan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk penubuhan 25 bahagian Bersatu di Sabah pada 3 Mei.

Surat kelulusan berkenaan telah disampaikan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kepada Ketua Penyelaras Bersatu Sabah pada 5 Mei.

Tun Mahathir menyerahkan watikah pelantikan kepada ketua penaja bahagian Beluran Datuk Ronald Kiandee (kanan). Gambar SNT/Ihsan Bersatu

Ketua-ketua penaja bahagian Bersatu Sabah ialah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor (Tuaran), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (Ranau), Datuk Abd Rahim Bakri (Kudat), Datuk Wetrom Bahanda (Kota Marudu), Datuk Japlin Akim (Kota Belud), Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego (Kota Kinabalu), Senator Datuk John Ambrose (Penampang), Dato’ Seri Dr. Arsit Sedi (Putatan), Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis), Datuk Isnin Aliasnih (Beaufort), Matbali Musah (Sipitang), Datuk Rubin Balang (Tenom), Azman Ruslan (Keningau), Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Pensiangan), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan), Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Aksyah Nasrah (Kinabatangan), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Beluran), Mohd Daud Tampokong (Semporna), Abdul Hakim Gulam Hassan (Silam), Datuk Nizam Datuk Abu Bakar Titingan (Tawau) dan Abdul Karim Abdul Wahid (Kalabakan).

Ketua penaja bahagian Tawau Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menerima watikah pelantikan daripada Tun Mahathir. Gambar SNT/Ihsan Bersatu

Setiausaha Eksekutif Bersatu Sabah, Dato Armizan Mohd Ali berkata ketua penaja pimpinan bahagian akan bertanggungjawab untuk mengurus dan melengkapkan proses penubuhan bahagian dan cawangan-cawangan.

Ini termasuk sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dalam bahagian masing-masing dengan membentuk struktur organisasi penaja dan menggerakkan proses pendaftaran serta penambahan ahli.

Warga Sabah yang berminat untuk memohon sebagai ahli boleh mendaftar dengan mengisi borang permohonan keahlian yang boleh diperolehi melalui sekretariat bahagian atau terus memohon secara dalam talian melalui laman web Bersatu iaitu www.bersatu.org.-SabahNewsToday