Pilih Bahasa

Ketua Polis Beaufort mengesahkan peserta Himpunan Bantah PSS ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

MEMBAKUT: Polis menahan seorang lelaki ketika hadir Himpunan Solidaritii Rakyat Bantah Aman Pas Sementara Sabah (PSS) di pekan lama, di sini, selepas didapati membawa parang replika kayu, pagi tadi.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan pasukan polis yang berkawal untuk menjaga keselamatan selepas melihat suspek dalam keadaan mencurigakan.

Anggota polis memegang parang replika dan membawa lelaki terbabit keluar dari perhimpunan untuk siasatan. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata hasil pemeriksaan awal menemui senjata parang yang disimpan pada pinggangnya dengan dililit tali.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ia parang kayu, bukan senjata dan memberi alasan parang itu untuk persembahan.

“Namun siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Elemen-elemen senjata yang ini, kami akan (siasat), takut ada niat di sebaliknya dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi perhimpunan, hari ini.

Mengulas mengenai perhimpunan itu, Azmir berkata keadaan terkawal dan peserta serta penganjur mematuhi arahan polis untuk bersurai selaras dengan pematuhan permit iaitu berhimpun selama dua jam sahaja.

“Semua terkawal dan mereka (peserta) mematuhi arahan ketika diminta untuk bersurai pada masa ditetap dan tiada apa yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, himpunan berkenaan disertai lebih 600 peserta yang rata-ratanya memakai baju berwarna hitam dengan logo ‘Tolak PSS’.

Himpunan yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu dianjurkan oleh sebuah Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat Sabah (PIPA) dan Sorak Sabah.

Hadir sama perhimpunan itu adalah Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin dan beberapa pemimpin pembangkang iaitu bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) merangkap Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.

Difahamkan, beberapa sekatan jalan turut dijalankan oleh anggota polis yang menyaksikan laluan masuk ke pekan Membakut mengalami kesesakan teruk sejak jam 7 pagi.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Azmir berkata polis sudah membuka lapan kertas siasatan setakat ini.

“Sekarang ada lapan kertas siasatan sudah dibuka membabitkan kesalahan pilihan raya, sogokan yang lain kebanyakkan memusnahkan poster, kata-kata yang menghasut,” katanya. – SabahNewsToday