Pilih Bahasa

Keunikan pelbagai kaum di Sabah raikan perayaan bersama

Hajiji (tiga dari kiri) menyampaikan ang pow kepada pelajar pada sambutan Pesta Ang Pow 2020 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C)  Chung Hwa Tenghilan. – Gambar SNT/Ihsan Dun Sulaman

TUARAN: Masyarakat berbilang kaum di Sabah begitu unik dan istimewa kerana dapat bersama-sama meraikan pelbagai perayaan.

Ahli Dewan Ungangan Negeri (Adun) Sulaman, Datuk Hajiji Haji Noor berkata masyarakat negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama akan bersama-sama menyambut sesuatu perayaan yang diraikan di Sabah.

“Inilah keadaan rakyat kita di Sabah, unik dan istimewa dengan pelbagai kaum bersatu merayakan perayaan-perayaan yang disambut di sini, termasuklah perayaan Tahun Baharu Cina.

“Keadaan ini mesti kita teruskan dan pelihara sampai bila-bila “, katanya ketika merasmikan Pesta Ang Pow 2020 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C)  Chung Hwa Tenghilan di sini, kelmarin.

Beliau berharap generasi muda dari peringkat sekolah rendah diberi pendedahan dan diterap pentingnya memiliki semangat toleransi, perpaduan dan kerjasama antara kaum, demi masa depan Sabah.

Hajiji (dua dari kanan) mengagihkan ang pow kepada pelajar pada sambutan Pesta Ang Pow 2020 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C)  Chung Hwa Tenghilan. – Gambar SNT/Ihsan Dun Sulaman

Hajiji  berkata, sesuatu perayaan disambut dan diraikan untuk kebaikan, sama ada perayaan itu untuk masyarakat Cina, bumiputera dan kaum lain.

Beliau bangga kerana SJK (C) Chung Hwa Tenghilan meraikan Pesta Ang Pow sempena TBC walaupun majoriti pelajarnya adalah dari kalangan bumiputera.

“Ini cukup istimewa dan perlu terus diamal dan diteruskan kerana ia memberi kebaikan kepada kita. 

“Ini juga mencerminkan jalinan hidup masyarakat berbilang kaum di Sabah yang dapat hidup dalam keadaan aman, damai, harmoni dan hormat menghormati diantara satu dengan yang lain”, tegasnya.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, berkata beliau memberi perhatian terhadap aspek kebajikan dan kepentingan sekolah-sekolah khususnya dalam kawasan Tuaran. – SabahNewsToday