Pilih Bahasa

Keusahawanan berasaskan tamu komuniti rancakkan aktiviti ekonomi Kadamaian

KOTA BELUD: Kerajaan mengalu-alukan sebarang inisiatif komuniti untuk memperkasakan sektor keusahawanan berasaskan tamu yang dikelolakan sendiri oleh komuniti.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, sektor tersebut bukan hanya merancakkan aktiviti ekonomi desa, tetapi juga dapat memperkasakan perpaduan dan silahturahim sesama komuniti.

Ewon melawat gerai Tamu Sosondoton Piasau. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Di kawasan DUN Kadamaian, terdapat dua tamu komuniti baru telah diwujudkan dan diusahakan oleh komuniti, iaitu Tamu Sosondoton Kg Piasau sejak September 2018 dan Tamu Kg Lompios sejak Februari 2019, kedua-duanya diadakan pada hari Sabtu. Tamu sedia ada di Kadamaian, ialah Tamu Taginambur setiap Jumaat, Tamu Sumbilingon setiap Ahad, selain daripada Tamu Pekan Nabalu pada setiap Khamis.

“Dengan adanya tamu-tamu ini akan dapat merancakkan aktiviti ekonomi di Kadamaian, selain memperkasakan perpaduan sedia ada. Saya berbangga dan penuh gembira dengan perkembangan positif ini, dan berharap momentum ini dapat berterusan,” katanya.

Ewon beramah mesra dengan orang ramai di Tamu Sonsodoton Piasau. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata demikan semasa merasmikan Program Ambang Kaamatan Tamu Sosondoton Kg Piasau, di sini pada hari ini.

Pads masa yang sama, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berharap, komuniti kampung, khususnya pimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pimpinan adat yang diketuai oleh Ketua Kampung dapat mengurus sebaiknya kawasan tapak tamu komuniti dengan Pejabat Pemungut Hasil Tanah atau Majlis Daerah Kota Belud.

“Status tanah ini dan juga dokumentasi seperti lesen jika berkaitan amat penting supaya tiada keraguan untuk para pengusaha, peniaga dan pengunjung. Ia juga penting untuk kita mengenalpasti jenis kemudahan berkaitan yang kita boleh salurkan,” katanya.


Ewon bersama penduduk kampung. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Menurut Ewon, beliau telah membantu mendapatkan peruntukan sebanyak RM20,000 daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan untuk penyelenggaraan gerai-gerai Tamu Sosondoton Piasau pada penghujung tahun lepas.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya selaku Wakil Rakyat Kadamaian untuk mencari dan membawa seberapa banyak kemudahan melalui peruntukan pelbagai kementerian ke kawasan Kadamaian.

Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian Program Ambang Kaamatan Tamu Sosondoton Kg Piasau. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Tanggungjawab ini satu cabaran besar, tetapi selagi kita boleh bekerjasama sebagai satu pasukan, saya pasti ada sahaja kemudahan kecil dan besar yang kita akan bawa ke Kadamaian sepanjang tempoh lima tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuk kemudahan dewan terbuka yang besar dengan pelbagai kemudahan berkaitan, bangunan tandas tambahan, platform dan tangki bekalan air yang besar serta kemudahan parking tambahan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM1 juta di Tamu Taginambur yang kita perolehi melalui peruntukan khas YAB Ketua Menteri dan kini sedang dalam proses perolehan di Kementerian Kewangan Sabah.

“Saya berharap kemudahan seumpama ini kelak akan dapat merancakkan aktiviti ekonomi di pusat-pusat tamu di Kadamaian, selain daripada usaha-usaha kita membangunkan sektor pelancongan desa dan pertanian di Kadamaian,” kata beliau.

Dalam majlis itu, Ewon sempat meninjau hasil kerja penyelenggaraan serta bermesra dengan semua pengusaha gerai di Tamu Sosondoton Piasau.-SabahNewsToday