Pilih Bahasa

Khat – Kerajaan Sabah patuh polisi pendidikan persekutuan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terima keputusan Kerajaan Persekutuan memperkenalkan seni tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun Empat sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang berkata pendidikan adalah di bawah bidang kuasa persekutuan.

Jenifer menerima cenderahati selepas perasmian My_CASELT dan LIID Expo 2019 di Pacific Sutera hari ini. Gambar SNT/Ihsan Penganjur My_CASELT

“Harus difahami bahawa pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (persekutuan).

“Apa-apa keputusan berkenaan polisi, kita perlu patuh dengan arahan daripada Kementerian Pendidikan persekutuan,” katanya apabila ditanya pendirian Kerajaan negeri Sabah mengenai pengenalan seni khat di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bermula tahun hadapan.

Beliau ditemui selepas mewakili Menteri Datuk Dr Yusof Yacob merasmikan Persidangan Antarabangsa Malaysia mengenai Strategi Akademik Pengajaran Bahasa Inggeris ke-enam (My_CASELT) dan Ekspo Ciptaan, Inovasi dan Rekaan Bahasa (LIID Expo) ke-tiga di sini hari ini.

Jenifer mengakui isu tersebut belum lagi selesai sepenuhnya memandangkan ianya masih mendapat tentangan dari beberapa pihak.

Namun, Jenifer yang juga Adun Moyog berkata Sabah tidak perlu terlibat dalam perbahasan tentang isu tersebut disebabkan negeri ini dikenali dengan perpaduan kaum yang harmoni.

“Saya belajar di sekolah cina walaupun saya berbangsa Kadazan. Di sekolah saya tiada masalah melihat tulisan cina,” katanya, sambil menambah hal pendidikan perlu dilihat secara objektif dan tidak dikaitkan dengan agama.

“Kita harus berfikiran objektif, anggaplah ianya seperti mempelajari satu bahasa baharu. Jangan terlalu emosi,” katanya, sambil menambah ramai juga yang telah mendapat pendedahan dan belajar penulisan Jawi sebelum ini.

Jenifer berkata khat merupakan satu bentuk seni dan ianya memberi peluang kepada kanak-kanak mempelajari sesuatu kelainan daripada yang mereka belajar selalu.

Sebelum ini beberapa pihak terutama Dong Zong atau United Chinese School Committees Association of Malaysia telah menentang pengenalan polisi pendidikan baharu ini.

Pada 8 Ogos, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek telah dilaporkan sebagai berkata bahawa Jemaah Menteri Persekutuan memutuskan supaya pengenalan seni tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diteruskan seperti dirancang mulai tahun hadapan.

Dalam masa yang sama, jemaah menteri menetapkan supaya pengenalan tulisan khat dilaksana secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.-SabahNewsToday