Pilih Bahasa

Khidmat murni juruterbang muda

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sekumpulan juruterbang muda asal negeri ini mengambil inisiatif membuat penerbangan ihsan bagi menghantar sumbangan barangan keperluan asas di dua kampung kawasan pedalaman Penampang.

Memilih Kampung  Longkogungan dan Kalagaan, penerbangan berkenaan disertai Kapten Sofia Lena William, 22, Kapten Shahdon Poong, 23, Kapten Nazeem Eleazar Nasip, 23, Kapten Matthew Ian Wong, 24 dan Kapten Muhamad Amirul Asyraf, 30.

Matthew Ian (kiri) bersama empat rakan juruterbang ketika melakukan penerbangan ihsan bagi menghantar sumbangan barangan keperluan harian ke Kampung Longkogungan dan Kampung Kalagaan di Penampang. Gambar SNT/Ihsan Matthew Ian

Salah seorang juruterbang terbabit, Matthew Ian berkata sudah menjadi rutin buat dirinya membawa doktor dan jururawat di bawah program Doktor Udara sebulan sekali ke dua kampung berkenaan bagi membuat pemeriksaan kesihatan.

Matthew Ian menyatakan setiap kali melakukan penerbangan ke kampung-kampung itu, pihaknya pasti akan membawa beberapa barangan keperluan untuk diberikan kepada penduduk setempat.

“Hal ini yang membuatkan timbul idea melaksanakan aktiviti amal seumpama ini disebabkan kita sedar kepayahan mereka untuk memperoleh barangan keperluan harian.

“Dua kampung ini terletak jauh daripada pekan Donggongon dan mengambil masa sekitar dua hingga empat jam berjalan kaki untuk sampai ke jalan utama.

Kumpulan juruterbang muda bersama penduduk Kampung Kalagaan selepas melakukan penerbangan ihsan bagi menghantar sumbangan barangan keperluan harian ke kampungan berkenaan. Gambar SNT/Ihsan Matthew Ian

“Oleh itu, penduduk di kawasan ini memang sentiasa memerlukan bantuan untuk mereka dapatkan barangan keperluan asas terutama situasi sekarang yang masih berada dalam Printah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Bertugas sebagai juruterbang helikopter di Layang-Layang Aerospace, Matthew Ian berkata pihaknya melalui Alumni Akademi Helikopter Layang-Layang telah berjaya mengutip dana kira-kira RM7,000 dalam kalangan rakan-rakan, keluarga dan orang awam bagi memulakan program berkenaan.

Menurutnya, wang terbabit digunakan untuk membeli barangan keperluan termasuklah tepung, garam, gula, minyak masak, ubat gigi, sabun pencuci, sabun mandi dan tuala wanita.

“Semua barangan ini kita masukkan ke dalam 45 beg khas sebelum diagihkan kepada penduduk di dua kampung ini.

“Penerbangan ihsan ini asalnya dilakukan pada 23 April namun disambung keesokan hari berikutan cuaca buruk,” katanya.

Sebanyak 45 bungkusan makanan bersedia untuk diterbangkan ke Kampung Longkogungan dan Kampung Kalagaan di Penampang. Gambar SNT/Ihsan Matthew Ian

Sementara itu, ketika ditanya samaada program sama bakal diteruskan untuk penduduk pedalaman di lokasi lain, Matthew Ian menyatakan dia bersama rakan-rakan masih belum memikirkan tentang perkara itu.

Bagaimanapun, ada sesetengah penyumbang barangan mencadangkan mereka membawa lebihan barangan yang masih ada ke beberapa perkampungan lain di dalam senarai program Doktor Udara seperti Kampung Kabu dan Saliliran di daerah Pensiangan.