Pilih Bahasa

Kilang proses burung walit di Kinabatangan tarik lebih ramai pengeksport ke Sabah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Jaujan (tengah) bergambar kenangan dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Serbaguna Semporna. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Sabah bakal menjadi antara pengeluar produk sarang burung walit dipasaran global melalui pembukaan kilang memproses sarang burung di Kinabatangan. 

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata kilang berkenaan yang akan dirasmikan pada 17 Jun ini adalah langkah merealisasikan hasrat untuk menarik lebih banyak negara mengeksport sarang burung dari Sabah.

“Sabah terkenal dengan sarang burung jadi selepas ini kita akan mengeksport sarang burung yang hanya diproses dari negeri ini yang boleh memberi peningkatan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat. 

“Kita tidak perlu lagi menghantar sarang burung untuk diproses ke luar negara tetapi kita sendiri akan proses di Sabah,” katanya demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Masyarakat Semporna di sini hari ini.

Jaujan berkata Sabah kini berada dilandasan baik dalam menarik kedatangan pelabur yang berminat dalam pelbagai bidang ekoran keyakinan dari China terhadap kepimpinan kerajaan baharu.

Jaujan (kiri) melayan tetamu yang hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Menerusi kepimpinan kerajaan pada hari ini, beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha membantu pengusaha dan pengilang memproses sarang burung walit secara positif dan berpragmatik serta inovasi. 

Tambah beliau lagi pembukaan kilang memproses burung walit itu juga dijangka dapat mengatasi kekangan industri semasa ke arah menerajui pasaran global produk sarang burung walet dalam kalangan pengusaha bumiputera di Sabah.

Mengenai penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri berkenaan, Jaujan berkata ia adalah platfom dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan berkata masyarakat di daerah ini perlu berganding bahu bersama penguatkuasa dalam membanteras jenayah yang boleh merosakkan imej Semporna. 

Saranan beliau kepada penduduk daerah itu agar tidak terlalu meletakkan tanggungjawab kepada penguatkuasa sahaja berkaitan soal keselamatan, sebaliknya sebagai masyarakat perlu bersama-sama bersatu mencegah jenayah. – SabahNewsToday