Pilih Bahasa

Kira-kira 100 penduduk hilang tempat tinggal, 20 rumah musnah terbakar

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kira-kira 100 penduduk hilang tempat tinggal selepas 20 kediaman musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, dekat sini, tadi.

Difahamkan api mulai marak disedari kira-kira jam 4 petang oleh salah seorang penduduk sebelum menjerit mengarahkan semua penghuni keluar.

Kelihatan pihak bomba masih menjalankan tugas memadam sebahagian kawasan yang masih terbakar. Gambar SNT / Ihsan JBPM Sabah

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata pihaknya menerima panggilan jam 4.29 petang.

Beliau kemudian mengarahkan 16 anggotanya ke lokasi kejadian menaiki tiga jentera penyelamat yang mengambil masa enam minit perjalanan dari BBPT.

“Setibanya di lokasi kejadian beberapa rumah kelihatan sudah musnah terbakar.

Kebakaran memusnahkan 20 rumah jenis kayu di Kampung Titingan Tawau. Gambar SNT / Ihsan JBPM Sabah

“Kita turut menghadapi kesukaran untuk masuk ke kawasan berkenaan ekoran terhalang oleh tembok pemisah antara kampung berkenaan dengan PPR (Projek Perumahan Rakyat).

“Jadi kita terpaksa menggunakan tangga untuk menaiki tembok berkenaan sebelum menyeberang ke kawasan kebakaran,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau lagi pihaknya turut menghadapi kesukaran memadam kebakaran akibat tiada punca air.

Jarak rumah yang rapat antara satu sama lain mengakibatkan api merebak dengan pantas. Gambar SNT / Ihsan JBPM Sabah

“Kita mendapati pili bomba yang terdapat di kawasan berkenaan tidak mengeluarkan air.

“Bagaimanapun api dapat dikawal selepas menerima bantuan bekalan air daripada lori tangki.

“Api kemudian dapat dikawal sepenuhnya jam 5.05 petang daripada merebak namun sebanyak 20 rumah jenis kayu musnah dalam kebakaran berkenaan,” katanya.

Turut membantu seramai 14 ahli Bomba Komuniti, 20 anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 14 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian masih dalam siasatan. – SabahNewsToday