Pilih Bahasa

KITA MAIN UNTUK SABAH: JELIUS

Oleh Chris Maskilone

Para pemain Sabah, jurulatih dan pihak pengurusan pasukan bergambar semasa program bertemu peminat di Suria Mall hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Penukaran maskot pasukan bolasepak Sabah dari Badak kepada Tambadau bukanlah satu isu, nasihat Ketua Jurulatih Jelius Ating kepada penyokong Sabah.

“Saya ingin memberitahu bahawa maskot pasukan boleh bertukar kepada apa saja tetapi simbol atau lambang yang kita pakai (lambang Sabah) tetap sama daripada dulu. Kita main untuk Sabah.

“Oleh itu saya minta kepada para penyokong dan peminat, datanglah beramai-ramai Sabtu ini bagi memberi sokongan kepada pasukan Sabah,” kata Jelius ketika ditemui semasa program “Tambadau Bertemu Peminat” di Sportmart Suria Sabah Mall hari ini.

Park Taesu dan Luka Milunovic menandatangan jersi peminat pasukan Sabah. Gambar SNT/Chris Maskilone

Terdapat penyokong Sabah yang melahirkan ketidakpuasan hati selepas pengumuman Tambadau sebagai maskot baharu Sabah oleh pemangku presiden Safa Datuk Peter Anthony beberapa hari yang lalu menggantikan Rhinos atau Badak.

Namun, Peter menjelaskan bahawa pengenalan Tambadau sebagai maskot bertujuan memberi nafas baharu kepada pasukan Sabah, demikian juga dengan penukaran warna jersi tuanrumah kepada putih.

Pengurus pasukan Henry Saimpon berkata Sabah akan turun di Stadium Likas pada Sabtu ini untuk perlawanan pertama Liga Perdana musim 2019 dengan kesebelasan terkuat yang ada.

Menurutnya, Sabah akan mengisi quota pemain import keempat dan juga terakhir kemungkinan pada perlawanan kedua nanti.

Dalam pada itu, para pemain termasuk dua pemain import baharu iaitu Luka Milunovic dan Park Taesu serta Rodoljub Paunovic yang mempunyai kontrak sehingga pertengahan musim 2019 gembira dapat bertemu dengan para penyokong serta peminat.

Paunovic ketika ditemui optimistik dengan pasukan Sabah setelah melalui beberapa pembaharuan terutama dari segi pengurusan pada musim lalu.

Penyerang berbahaya Sabah itu turut berasa teruja dengan kedatangan pemain senegaranya, Milunovic, yang beliau anggap sebagai seorang pemain yang amat baik.

“Dia bermain dengan kelab gergasi di Serbia, Red Star Belgrade dahulu. Oleh kerana kami bercakap bahasa yang sama saya harap dia dan saya akan dapat bermain dengan baik bersama,” katanya.-SabahNewsToday