Pilih Bahasa

Kiulu perlu ada hotel sebagai pemangkin industri pelancongannya

TUARAN: Usaha bagi mendapatkan sekurang-kurangnya sebuah hotel dibina di Kiulu giat berjalan untuk menjadi pemangkin kepada industri perlancongan di daerah kecil itu.

“Kawasan Parlimen Tuaran adalah satu-satunya daerah yang mempunyai dua buah hotel bertaraf lima bintang di luar daripada Bandaraya Kota Kinabalu.

Madius (kanan) menerima cenderakenangan berupa lukisan air terjun Kampung Lokos.-Gambar SNT/Ihsan KP&P

“Kita mahu Kiulu juga akan ada hotel,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

“Kita sedang mengusahakan perkara ini; saya berharap hotel (di Kiulu) itu akan dibina secepatnya,” tambah beliau.

Madius, yang juga merupakan ahli Parlimen Tuaran, berkata kawasan beliau sudah ada Nexus Resort and Spa Karambunai serta Shangri La’s Rasa Ria Resort and Spa, kedua-duanya bertaraf lima bintang serta beberapa buah hotel lagi.

“Dua lagi hotel lima bintang sedang dibina … akhirnya kita berharap Tuaran akan ada sekurang-kurangnya lima hotel yang berstatus tinggi,” kata beliau lagi.

Madius berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas ucapan semasa merasmikan Program Jelajah Taklimat  dan Pameran Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC) Daerah Tuaran di sini pagi tadi.

Beliau berbesar hati kerana ramai pelabur yang berminat untuk serta sama membangunkan Tuaran termasuk membina hotel di Kiulu yang akan memantapkan lagi prasarana Kiulu yang sudah pun diluluskan menjadi Daerah Kecil.

Terdahulu, Madius memuji usaha Taman-Taman Sabah, dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan yang satu hati menganjurkan jelajah demi kelestarian alam sekitar yang dihadiri lebih 300 orang. 

Madius melihat salah satu pameran dalam Pameran Rizab Biosfera Banjaran Crocker daerah Tuaran. Gambar SNT/Ihsan KP&P

RBBC di Tuaran merupakan rizab yang terbesar berbanding daerah-daerah lain, serta menjadi tadahan air untuk kegunaan masyarakat bukan sahaja di Tuaran tetapi Kota Kinabalu.

Pelbagai aktiviti diadakan dalam jelajah itu, termasuklah acara sukan, taklimat  mengenai pengurusan tadahan air, perikanan, pertanian, perhutanan dan servis serta perkhidmatan.
 
Turut hadir PPM Kiulu, Suali Sikir, pengarah Taman-Taman Sabah Dr. Maklarin Lakim, setiausaha Pusat Diversiti Sabah Gerald Jetony, dan wakil daripada Pejabat Daerah.-SabahNewsToday