Pilih Bahasa

K’jaan Negeri digesa benarkan ‘runner’ persendirian beroperasi

Oleh Sabah News Today

TAWAU: Kerajaan Negeri khususnya Sabah Covid-19 Command Centre digesa agar menimbang memberi kelonggaran kepada “runner persendirian” untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Membuat gesaan itu, Armada Bersatu Bahagian Tawau berpendapat “runner persendirian” untuk menghantar bahan mentah dan barangan lain wajar dibenarkan beroperasi dengan syarat ketat yang ditetapkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa keselamatan.

Khazarudin Kahar. Gambar Fail SNT

Ketuanya, Khazarudin Kahar berkata kebenaran yang diberi kepada lima kategori perkhidmatan penghantaran yang ditetapkan, hanya melibatkan runner dalam perkhidmatan makanan bermasak.

“Sebaliknya runner untuk penghantaran bahan mentah dan barangan jenis lain tidak dilibatkan”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kerajaan Sabah pada Jumaat lalu yang memutuskan khidmat ‘runner’ tidak berdaftar adalah dilarang bagi semua urusan sepanjang tempoh PKP yang berkuat kuasa hingga 12 Mei ini.

Pada masa yang sama, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ir Haji Amrullah Haji Kamal pada 25 April juga telah mengeluarkan notis larangan perkhidmatan runner tidak berdaftar.

Mengulas perkara itu, Khazarudin berkata sebahagian besar runner persendirian khususnya di daerah Tawau dan daerah-daerah lain di negeri ini adalah golongan belia yang berusaha mencari pendapatan untuk keluarga berikutan tidak dapat bekerja seperti biasa.

Menurutnya, ramai golongan belia yang tidak dapat bekerja sepanjang PKP, maka mereka mencari peluang lain dengan menjadi runner sesuai dengan saranan kerajaan menggalakkan masyarakat untuk terus berada di rumah.

“Golongan belia khususnya yang bujang dan berkerja sendiri juga amat terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan PKP. Sebahagian daripada mereka juga tidak mendapat apa-apa bantuan daripada Kerajaan Negeri,” tegasnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan memberikan kelonggaran kepada runner persendirian yang terdiri daripada golongan belia muda untuk berkhidmat sepanjang PKP ini.

Bagaimanapun tegasnya, mereka (runner persendirian) hendaklah patuh dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan khususnya Sabah Covid-19 Command Centre.

Katanya syarat-syarat lain termasuklah mereka hendaklah berdaftar dengan PBT, terdiri daripada warganegara Malaysia, mempunyai surat pemeriksaan kesihatan/ujian saringan Covid-19 daripada klinik (tertakluk syarat Kementerian Kesihatan Malaysia), salinan geran kenderaan, lesen memandu yang sah dan lain-lain.

Katanya di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia penghantar  makanan dan bungkusan (parcel hailing) dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.-SabahNewsToday