Pilih Bahasa

KK Jazz Talent Search cungkil bakat seni generasi muda Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Penganjuran program pencarian bakat KK Jazz Talent Search mampu mencungkil lebih ramai bakat muda dalam bidang seni di negeri ini.

Diadakan sempena KK Jazz Festival 2019, program berkenaan terbuka kepada kumpulan tempatan Sabah untuk mempamerkan bakat nyanyi serta bermain muzik.

Antara kumpulan yang menyertai ujibakat sempena KK Jazz Talent Search 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KK Jazz Festival, Jack Ong berkata setakat ini kita sudah ada beberapa kumpulan yang menyertai sesi ujibakat dan keputusan akhirnya akan diketahui sebelum penganjuran festival pada 2 dan 3 Ogos hadapan.

“Kita mempunyai ramai bakat muda termasuklah berkumpulan dan rugi sekiranya ia disia-siakan begitu sahaja.

“Apabila mereka menyertai aktiviti ini, kumpulan terpilih bukan sahaja boleh mengasah  mutu persembahan selain membina keyakinan diri ketika berada di atas pentas,” katanya ketika sidang media selepas KK Jazz Media Launch dan KK Jazz Talent Search, dekat sini, hari ini.

Jack (lima dari kanan) bersama jawatankuasa penganjur KK Jazz Festival 2019 selepas KK Jazz Media Launch dan KK Jazz Talent Search di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Memasuki penganjuran edisi ke 13, antara kumpulan turut membuat persembahan termasuklah Rainbow Children, SWAG, Blues Summit dan Q Sound daripada New York, Amerika Syarikat.

Berlangsung selama dua hari, kira-kira 5,000 penonton dijangka hadir pada festival yang akan berlangsung di Marina Sutera Harbour and Country Club.

Dalam pada itu, tiket persembahan sudah mula dijual secara atas talian di www.airasiaredtix.com sejak 1 Julai lalu.

Jack (kiri) menyampaikan cenderamata kepada salah satu penaja KK Jazz Talent Search 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Sementara itu, Jack berkata semua hasil jualan tiket persembahan akan dimasukkan ke tabung Rotary Club Kota Kinabalu (RCKK) dan Society of Performing Arts Sabah (SPArKS) bagi pelbagai program kelab. -SabahNews Today