Pilih Bahasa

‘KK Moving Forward’ tumpu kesejahteraan Bandaraya Kota Kinabalu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Masyarakat khususnya warga Kota Kinabalu perlu menerapkan nilai-nilai kebersihan bagi memastikan aspek keindahan di bandaraya itu dapat dikekalkan setiap masa.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selain langkah itu juga dapat mengurangkan jumlah sampah sarap yang dikutip setiap hari oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Mohd Shafie (tengah) bersama penerima Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Penasihat DBKK di Dewan Bankuasi Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS). – Gambar SNT/Ihsan DBKK

“Saya difahamkan pada tahun lalu DBKK hanya ada peruntukan yang agak kecil untuk kerja-kerja pembersihan walaupun demikian mereka masih mampu membersihkan bandaraya ini setiap hari dengan kita-kira 800 tan sehari sampah dikutip.

“Saya yakin ini merupakan perkara yg kita perlu usahakan agar penghuni bandaraya dapat memberikan kerjasama sebaik mungkin dengan tidak membuang sampah merata-rata,” katanya di sini hari ini.

Mohd Shafie (tengah) disertai beberapa menteri Kabinet negeri dan Datuk Bandar Kota KInabalu, datuk Nordin Siman (dua dari kanan) melancarkan “KK Moving Forward” dan menyampaikan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Penasihat DBKK di Dewan Bankuasi Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS). – Gambar SNT/Ihsan DBKK

Terdahulu beliau melancarkan “KK Moving Forward” dan menyampaikan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Penasihat DBKK di Dewan Bankuasi Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Katanya DBKK membelanjakan sebanyak RM150,000 pada tahun lalu untuk pengurusan sampah bagi mengindahkan dan mencantikkan lagi kawasan bandaraya ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri mengalu-alukan usaha DBKK menerusi `KK Moving Forward’ yang merupakan hala tuju jelas dan lengkap untuk meningkatkan kesejahteraan warganya dalam aspek kebersihan dan prasarana.

Mohd Shafie bersalaman dengan ahli lembaga penasihat DBKK. Gambar SNT/Ihsan DBKK

Menurutnya bandaraya Kota Kinabalu merupakan pusat yang menjadi tumpuan pelancong dan sudah pasti pengurusan komprehensif perlu untuk merealisasikan hala tuju seumpama itu.

Mohd Shafie berkata tidak ada ertinya didirikan bangunan pencakar langit sekiranya penghuni bandaraya itu tidak memiliki nilai-nilai kebersihan dan amalan baik.

Sehubungan itu beliau mahu kerjasama sebaik mungkin ditunjukkan oleh segenap masyarakat terutama warga Kota Kinabalu untuk bersama-sama menjaga kesejahteraan bandaraya itu sepanjang masa. – SabahNewsToday