Pilih Bahasa

KK Sentral kini mula beroperasi

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Terminal bas KK Sentral berharga RM54 juta kini mula beroperasi menawarkan perkhidmatan bas ekspres ke Beaufort, Sipitang, Menumbuk, Lawas dan Brunei.

Perasmian KK Sentral disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Arifin Asgali, yang juga bertanggungjawab terhadap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu hari ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali melakukan flag-off di KK Sentral, di kota kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Arifin, terminal yang telah lama siap dibina ini merupakan sebahagian dariapda empat Terminal Bas Bersepadu yang dirancang di bawah Pelan Induk Pengangkutan Awam Bandaraya Kota Kinabalu.

“Tiga terminal lain yang akan dibina adalah Terminal Bersepadu Kepayan, Terminal Bersepadu Inanam dan Terminal Bersepadu Penampang.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali melawat kaunter tiket bas di Kota Kinabalu (KK) Sentral. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Tanah sudah tersedia. Cuma kita tunggu peruntukan kewangan untuk membolehkan projek ini dapat direaliasikan,” katanya.

Bangunan yang mempunyai dua buah blok ini menempatkan pelbagai kemudahan seperti surau, kaunter jualan tiket bas, kaunter penyimpanan bagasi, medan selera, gerai kraftangan, dan lot parkir kereta berbayar. -SabahNewsToday