Pilih Bahasa

KKIP BAKAL MILIKI BALAI POLIS SENDIRI

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Polis Sabah dalam perancangan membina sebuah balai polis di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata cadangan pembinaan balai baharu itu adalah usaha memberi kemudahan kepada masyarakat apabila memerlukan perkhidmatan kepolisan dengan lebih dekat.

Zaini (kanan) dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji (kiri) pada sidang media berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Tugas polis adalah memastikan masyarakat menerima pekhidmatan yang terbaik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Oleh itu, kita mengenal pasti kawasan masyarakat yang jauh dari balai dan akan membina sebuah balai di kawasan tersebut terutamanya masyarakat yang ramai penduduknya.

“Bagi IPD Kota Kinabalu, kita bercadangan membina balai polis di KKIP kerana tampat yang semakin membangun dan mempunyai ramai masyarakat di kawasan tersebut,” katanya dalam satu sidang media Lawatan Rasmi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah ke IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Zaini (tengah) memerika barisan kawalan kehormat pada lawatan rasmi beliau ke IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Alfred Petrus

Sementara itu, jelasnya lawatan rasminya ke semua balai polis setiap daerah itu adalah yang kelima kali selepas Keningau, Tenom, Kunak dan Ranau.

Tambahanya lawatan tersebut adalah antara lain untuk mengetahui kekurangan mahupun keperluan yang diperlukan setiap balai polis seluruh negeri.

Menurutnya antara keperluan yang ketara adalah kekurangan kakitangan atau perjawatan seluruh negeri.

“Sememangnya, kalau kita pergi ke daerah-daerah lain, memang ada terdapat kekuarnagan dari segi perjawatan tapi bukan yang kritikal.

“Di Sabah, kita kekurangan dalam sembilan peratus perjawatan. Semua daerah mengalami masalah yang sama, namun ia bukanlah satu alasan untuk setiap daerah tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam kerja kepolisan.

“Kita akan melihat dan memmbantu untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan isu keanggotaan dan kekurangan dari segi logistik lain,” jelasnya. -SabahNewsToday