Pilih Bahasa

KKKR Sabah lancar Enam Inisiatif Pendigitalan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah hari ini melancarkan enam inisiatif pendigitalan kementerian itu bertujuan memudahkan masyarakat memperolehi maklumat berkaitan dengan cepat dan tepat.

Enam inisiatif pendigitalan itu ialah D-Bass (Bantuan Program Sosial Sekolah), termasuk empat daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am iaitu D-Bantuan mengenai permohonan Bantuan Kebajikan, D-Skills bagi permohonan Latihan dan Pemulihan OKU, D-Care (permohonan kemasukan ke Institusi Kebajikan), D-Volunteer (permohonan sukarelawan kebajikani dan satu daripada Jabatan Hal Ehwal Wanita iaitu DeWI mengenai menaiktaraf system WISe atau Women Information System electronic.

Frankie (tengah) disertai Janet (dua dari kiri) dan Safar (tiga dari kanan) melancarkan Inisiatif Pendigitalan KKKR Sabah. – Gambar SNT/Ihsan KKKR

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon berkata inisiatif pendigitalan program tersebut merupakan antara lima fokus utama Bajet Negeri Sabah 2020.

“Usaha pendigitalan itu adalah selaras dengan revolusi Industri 4.0 untuk menghadapi cabaran digital dan teknologi global masa kini.

“Dengan terlaksananya pendigitalan ini, semua maklumat dapat dicapai dengan cepat dan tepat pada masanya untuk faedah bersama,” katanya melancarkan Inisiatif Pendigitalan dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KKKR di sini, hari ini.

Frankie (empat dari kanan) menyampaikan Anugerah Penghargaan Khas Setiausaha Tetap kepada Janet K L Chee. – Gambar SNT/Ihsan KKKR

Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai; Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Janet K L Chee dan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan di bawah KKKR Sabah.

Dalam pada itu, Frankie turut memuji prestasi cemerlang pegawai dan kakitangan kementeriannya bagi penilaian 2019.

“Saya yakin semua warga kementerian telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan memuaskan.

“Olek itu, saya difahamkan bahawa selain daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang beberapa Anugerah lain akan turut disampaikan seperti Anugerah Penghargaan Khas Setiausaha Tetap seperti yang telah diamalkan oleh Kementerian ini sejak tahun 2016 lagi.

“Pemberian Anugerah Penghargaan Khas Setiausaha Tetap ini amat penting untuk memberi motivasi kepada semua warga KKKR supaya sentiasa berusaha meningkatkan prestasi kerja masing-masing,” katanya. – SabahNewsToday