Pilih Bahasa

KKM perinci cadangan bina parkir bertingkat di HWKKS

KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) — Pembinaan parkir bertingkat antara cadangan jangka panjang diambil untuk kemudahan orang ramai di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata tapak pembinaan untuk bangunan (parkir bertingkat) itu sudah ada dicadangkan oleh pihak hospital, bagi mengatasi kekurangan parkir kereta di kawasan berkenaan.

Frankie Poon dan Dr Chen Chaw Min meninjau kemudahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS). Gambar Bernama

“Kami terima cadangan dan mana cadangan terbaik kami akan laksanakan pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja bersama Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung di hospital itu, hari ini.

Pada lawatan kerja di hospital itu, beliau dan Poon diberikan taklimat oleh Pengarah HWKKS Dr Tan Bee Hwai.

Chen berkata untuk cadangan jangka pendek bagi menambah kawasan parkir kereta di hospital itu adalah menggunakan sebuah kawasan lapang bersebelahan yang tapak tanah dimiliki kerajaan negeri.

Katanya kawasan itu mampu memuatkan 200 lot parkir kereta yang akan menyenangkan orang ramai khususnya pesakit yang pergi ke hospital itu.

“Cadangan ini telah dikemukakan kepada Poon untuk diambil perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Chen berkata HWKKS sebagai hospital pakar wanita dan kanak-kanak telah memainkan peranan penting kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan terbaik di negeri ini.

Katanya hospital ini juga memberi sokongan rawatan kepada pesakit dari hospital di Lawas dan Limbang di Sarawak dan Labuan.

Menurutnya melihat kepada peranan dan keperluan HWKSS kepada penduduk di negeri ini dan Sarawak, kementeriannya akan memastikan keperluan khususnya membabitkan peralatan untuk pesakit di hospital itu ditambah baik.

Hospital ini yang mempunyai 1,000 petugas termasuk 55 doktor pakar dilengkapi dengan 656 katil dan turut mempunyai Pusat Perubatan Nuklear dan Radioterapi.

— BERNAMA