Pilih Bahasa

KKTP cadang naiktaraf taman riadah awam di setiap daerah

BEAUFORT: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) bercadang untuk memastikan pusat atau taman riadah awam yang terdapat di setiap daerah negeri ini dinaik taraf.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, selain usaha menaik taraf pasar awam disemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang dilaksanakan, kawasan riadah juga perlu diberikan perhatian.

Jaujan membuat lawatan ke Taman Tasik Beaufort. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Kawasan riadah penting kepada masyarakat dan ianya adalah satu keperluan bagi menjaga kesihatan dengan melakukan aktiviti senaman.

“Taman-taman riadah ini akan saya ambil perhatian kerana ianya satu perkara yang baik kepada masyarakat kita,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Taman Tasik Beaufort, di sini kelmarin.

Beliau berkata, usaha menaik taraf taman-taman riadah juga akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dari segi penjagaan kebersihan dan keselamatan.

Katanya, taman seumpamanya bukan sahaja boleh digunakan untuk aktiviti riadah tetapi juga program bersama masyarakat, hari keluarga dan banyak lagi.

“Dengan adanya taman riadah ini, orang ramai tidak perlu lagi menyewa lokasi yang mahal bagi melakukan aktiviti.

Jaujan dalam siri lawatan beliau ke Taman Tasio Beaufort. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Buatlah konsep semula jadi, sebab itu saya meminta pentadbiran di sini supaya ada kreativiti, jangan leka dan duduk sahaja tetapi mencari sumber-sumber baharu yang boleh dimanfaatkan rakyat setempat,” katanya.

Jaujan yang juga Menteri KKTP menjelaskan Taman Tasik Beaufort berpotensi dikembangkan sebagai satu daya tarikan pelancong di kawasan berkenaan.

Katanya, kawasan itu adalah satu khazanah yang harus dipelihara oleh masyarakat setempat.

“Saya akan ambil perhatian perkara ini dan membawanya ke Jabatan Landskap Negara dan Jabatan Lanskap Negeri yang kini kita sedang proses tubuhkan.

“Kita akan selaraskan dengan Pusat agar taman-taman seumpamanya dibangunkan untuk keperluan masyarakat setempat,” katanya.-SabahNewsToday