Pilih Bahasa

KKTP pergiat jayakan Program PBT Hijau tahun ini

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jaujan (tengah, barisan hadapan) bergambar kenangan bersama pegawai kanan dan kakitangan KKTP. – Gambar SNT/Ihsan KKTP

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah akan memperhebatkan usaha pelaksanaan PBT Hijau dalam tahun ini untuk pembangunan ekonomi, sosial dan penjagaan alam sekitar setempat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri KKTP, Datuk Jaujan Sambakong berkata sekiranya perancangan rapi dan kerja keras diteruskan dalam membangunkan kedua-dua konsep hijau, ia mampu menjadi contoh kepada PBT di negara ini.

“Untuk maklumkan semua, pelancaran PBT Hijau untuk Tongod  akan dijayakan dalam masa terdekat untuk menjadikannya satu realiti kepada kementerian KKTP.

“Saya menyarankan kepada semua Presiden dan Pegawai Eksekutif PBT untuk mengenalpasti kekuatan serta peluang di kawasan masing-masing yang boleh diketengahkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 KKTP di Wisma Innoprise di sini, hari ini.

Jaujan berkata kementeriannya juga akan meneliti sewajarnya dalam menentukan hala tuju pembangunan setiap daerah.

Beliau menambah, ia disebabkan matlamat yang jelas akan dapat membantu memacu pembangunan PBT dengan lebih efisien dan optimum.

Dalam pada itu Jaujan turut menggesa kementerian itu memperbanyakkan lagi hubungan dua hala dan rakan strategik daripada pelbagai rantau bagi mencari alternatif lain dalam pengurusan sisa pepejal.

Katanya pemindahan teknologi dan pengetahuan akan memberikan kementerian itu pendekatan baharu khususnya warga kerja KKTP untuk mendapatkan idea baharu berkenaan dengan pengurusan sisa pepejal yang lebih baik.

“Pengurusan sisa pepejal akan terus menjadi salah satu cabaran utama kementerian. Seperti sebelum ini pengurusan sisa pepejal saban hari semakin kompleks dan memerlukan pendekatan serta penyelesaian tuntas.

“Sudah tiba masanya bukan sahaja pendidikan berkenaan pengurusan sampah yang betul serta penghantaran sampah ke tapak pelupusan sampah digiatkan, tetapi kesedaran pengasingan dipunca juga penting,” katanya.

Ini kerana kata beliau lagi, masyarakat harus bersama-sama melibatkan diri agar kesedaran mengenai pengurusan sampah ini dapat dilakukan daripada peringkat akar umbi. – SabahNewsToday