Pilih Bahasa

KKTP terus komited memperindah setiap bandar di seluruh Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) terus komited dalam usaha menceriakan serta mengindahkan setiap bandar di negeri ini.

Menterinya, Datuk Jaujan Sambakong berkata Kabinet negeri sudah meluluskan Piawaian Perancangan Pembangunan Lanskap Negeri Sabah pada Mac lalu sebagai panduan pembangunan kawasan lapang.

Jaujan (dua kiri) bersama ahli Dewan Undangan Negeri lain sebelum persidangan Dun bermula hari ini. Gambar SNT/Ihsan KKTP

 Jaujan berkata beberapa inisiatif lain telah dan akan dilaksanakan termasuklah Program Pembangunan Taman Awam Baharu.

“Program ini melibatkan usaha meningkatkan landskap persekitaran yang lebih indah, berkualiti dan dilengkapi dengan komponen landskap sesuai mengikut keperluan bukan sahaja bagi tujuan pengindahan tetapi juga menyediakan persekitaran hidup lebih kondusif.

“Selain itu, inisiatif lain adalah Program Pembangunan Landskap dan Infrastruktur Hijau. Ia mengutamakan pembangunan landskap bandaran, persekitaran kehidupan, penghijauan negeri, pengindahan desa dan luar bandar.

“Program ini lebih tertumpu kepada pengisian taman poket dalam bandar dengan perancangan infrastruktur hijau, penyediaan reka bentuk menarik yang akan menjadikan kawasan nampak lebih menarik serta berfungsi,” katanya ketika menjawab soalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Tan Lee Fatt (DAP) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Kali Ke 15, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata perancangan bagi pembangunan berkenaan adalah berpandukan Pelan Induk Landskap yang telah disediakan untuk rujukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemegang taruh berkaitan.

Jaujan yang juga Timbalan Ketua Menteri menaytakan usaha berkenaan turut melibatkan program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta program pemeliharaan serta pemuliharaan.

“Program promosi serta pengembangan industri landskap serta program promosi landskap serta kesedaran awam turut disertakan dalam usaha mencantikan suasana bandar.

“Kerajaan juga akan menaik taraf taman awam dan baik pulih aset landskap, melalui usaha ini taman-taman awam, komponen dan aset landskap sedia ada akan dibaik pulih untuk tujuan meningkatkan kemudahan awam serta mewujudkan kawasan riadah yang aktif” katanya.

Menurutnya, KKTP juga kini sedang mengambil langkah meningkatkan kualiti gerai-gerai yang menjadi salah satu produk mampu menarik pelancongan. Pengindahan gerai-gerai dengan menekankan konsep ceria, kreatif dan mempunyai daya penarik dijadikan keutamaan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Adun Paginatan (Upko), Datuk Abidin Madingkir, Jaujan menjelaskan isu sampah adalah bermula dari diri sendiri.

“Kita juga akan mewujudkan satu undang-undang berkaitan sisa pepejal pada masa terdekat. Dengan lawatan kita ke Kalimantan Timur baru-baru ini, saya mendapati bandar itu tidak menggunakan istilah membuang sampah.

“Bagi mereka sampah ini adalah peluang ekonomi, tetapi ianya harus bermula dari kesedaran rakyat sendiri,” katanya.

Menurut beliau usaha seumpamanya adalah sebahagian konsep PBT Hijau yang KKTP wujudkan ketika ini. Soal sampah tidak seharusnya diletakkan dalam bahu satu-satu agensi sahaja sebaliknya ia melibatkan semua pihak seperti rakyat.

Jaujan berkata sampah perlu diuruskan dengan baik seterusnya mengikis istilah membuang sampah.

“Salah satu caranya adalah pembentukan kesedaran dan sikap masyarakat kita, pelbagai kaedah dan peraturan sudah diwujudkan tetapi masalah sampah masih tidak diatasi.

“Kita ada menyediakan tong sampah, pendekatan pengasingan sampah, wujud peraturan tetapi masih tidak mampu selesaikan masalah tersebut disebabkan kesedaran tidak ada.

“Sekiranya kesedaran mengenai perkara itu wujud, tong sampah itu tidak diperlukan seperti mana yang diamalkan di Balik Papan.

“Mereka mewujudkan taman sampah sebab masyarakat mereka sudah sedar, kita akan cuba usahakan perkara yang sama tetapi memerlukan  tempoh masa lama untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,’ katanya. –SabahNews Today