Pilih Bahasa

Klinik Bolasepak Telupid tarik 50 peserta

TELUPID: Klinik Bolasepak selama dua hari di padang IOI Plantation Pamol berjaya menarik seramai 50 peserta daripada sekitar Pamol, Kampung Nangoh, Kampung Basai Dan Kampung Sualok di sini.

Klinik ini merupakan anjuran Pergerakan Pemuda Upko Beluran dengan kerjasama Safa Daerah Telupid, SMK Pamol dan IOI Group.

Felix bersama dengan jurulatih dan peserta klinik bolasepak. Gambar SNT/Ihsan Upko Beluran

Sepanjang klinik bolasepak ini diadakan peserta telah didedahkan dengan teknik asas bolasepak yang sangat berguna kepada mereka sebelum melangkah lebih jauh dalam sukan ini.

Ia turut dihadiri oleh Jurulatih dan guru SMK Pamol, Beluran.

Klinik Bolasepak ini mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman Justin Ganai dengan di bantu oleh Tommy Amir, Sylvester Doini dan Jafrey Liling.

Majlis perasmian penutupan program itu telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda Upko Pusat yang juga Ketua Bahagian Upko Beluran, Felix Joseph Saang.

Felix menerima cenderamata daripada Tommy. Gambar SNT. Ihsan Upko Beluran

Felix mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya mengikuti program.

Beliau turut memuji program tersebut kerana pembangunan bolasepak diperingkat akar umbi sangat penting untuk melahirkan pemain bolasepak yang berkualiti.

Felix mengucapkan terima kasih kepada Justin Ganai yang sanggup datang untuk memberi ilmu berguna kepada anak-anak di Beluran.

Sementara itu, Tommy Amir, Naib dua Pemuda Upko pusat merangkap Ketua Pemuda Upko Beluran berkata klinik itu adalah pertama kali diadakan di Zon Nangoh.

“Kami Pemuda Upko Beluran amat teruja untuk membantu apa yang terdaya demi membantu membangunkan sukan ini khususnya di Parlimen Beluran,” katanya.

Tommy turut mengucapkan terima kasih kepada Felix atas sokongan kepada program itu dan juga kepada pihak IOI Group, Telupid Mix Veteran Fc serta SMK Pamol atas kerjasama menjayakan program tersebut.-SabahNewsToday