Pilih Bahasa

KLINIK KESIHATAN KAMPUNG SUNGAI TAMANG PULAU SEBATIK BAKAL DIBINA TAHUN INI

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Abdul Muis (depan) melawat rumah yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini. – Gambar SNT / Ihsan Adun Sebatik

TAWAU: Projek pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Sungai Tamang, Pulau Sebatik akan dimulakan sebaik sahaja isu berkaitan pemilikan tanah untuk tapak klinik itu diselesaikan.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Abdul Muis Picho berkata pembinaan klinik kesihatan itu dijangka menelan belanja kira-kira RM30 juta meliputi kos bangunan, kuarters dan peralatan.

Abdul Muis (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah didiami musnah dalam kebakaran, di Kampung Tamang, Pulau Sebatik. – Gambar SNT / Ihsan Adun Sebatik

“Ketika ini penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di bandar Tawau memandangkan di pulau ini hanya terdapat Klinik Kesihatan Ibu dan Anak. 

“Keadaan menjadi lebih sukar jika berlaku kes-kes kecemasan pada waktu malam dan air laut pula surut.

“Oleh itu, pembinaan klinik kesihatan dimulakan tahun ini selepas isu berkaitan pemilikan tanah untuk tapak klinik tersebut selesai diuruskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke tapak cadangan Klinik Kesihatan Kampung Tamang, Pulau Sebatik di sini hari ini.

Abdul Muis (tengah) melawat tapak Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Sungai Tamang, Pulau Sebatik, Tawau. – Gambar SNT / Ihsan ADUN Sebatik

Abdul Muis berkata, sebelum ini beliau sudah menyuarakan perkara yang sama kepada pihak berkaitan berhubung keperluan sebuah klinik kesihatan dibina di pulau itu. 

“Saya percaya, jika klinik itu siap kelak, ia bakal memberi manfaat yang besar kepada masyarakat,” katanya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik sempat berkunjung dan menyampaikan sumbangan kepada tiga buah keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah  dalam kebakaran Isnin lalu. – SabahNewsToday