Pilih Bahasa

KM rasmi kampus baharu Kolej Komuniti Tambunan, sempurnakan pecah tanah Mahkamah Anak Negeri Tambunan

TAMBUNAN: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merasmikan kampus baharu Kolej Komuniti Tambunan di sini pada Sabtu.

Kolej Komuniti Tambunan. Gambar SNT/Ihsan JKM

Mohd Shafie berkata Kolej Komuniti di Sabah adalah sangat relevan kerana ia menjadi pemangkin dan peneraju pembangunan modal insan dan teknologi maklumat.

“Peranan Kolej Komuniti menyokong usaha kerajaan negeri bagi memastikan pasaran kerja di Sabah bakal dipenuhi oleh modal insan atau graduan yang mempunyai kemahiran yang diiktiraf oleh industri,” kata beliau.

Mohd Shafie (tengah) bersama Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tiga kiri), Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony (dua kanan), Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick (dua kiri) melakukan gimik perasmian Kolej Komuniti Tambunan. Gambar SNT/Ihsan JKM

Terdahulu, Mohd Shafie melancarkan majlis pecah tanah di tapak pembinaan Mahkamah Anak Negeri Tambunan yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Katanya, mahkamah yang menelan belanja RM6 juta itu dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk kampung bagi menyelesaikan pertikaian tertentu tanpa mengganggu urusan di pejabat daerah.

Mohd Shafie menyempurnakan majlis pecah tanah Mahkamah Anak Negeri Tambunan. Gambar SNT/Ihsan JKM

Bercakap kepada media selepas itu, Mohd Shafie berkata daerah ini berpotensi besar untuk membangunkan industri halia.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah melihat perkara itu dan memperbesarkan industri halia sedia ada di kawasan berkenaan.

Mohd Shafie menandatangan plak perasmian Kolej Komuniti Tambunan. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Kita tahu Tambunan merupakan salah satu daerah pengeluar halia di negeri ini. Oleh itu kita mahukan ia dijadikan satu industri agar ia dapat dipasarkan sehingga ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan industri berkenaan dapat dibangunkan untuk mempertingkatkan pendapatan penduduk kampung yang selama ini menanam halia di daerah berkenaan.

Mohd Shafie dan Pairin bersama para hadirin di majlis perasmian Kolej Komuniti Tambunan. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Apabila industri ini ada, maka hasil bukan sahaja dipasarkan di Sabah tetapi di serata dunia,” katanya.

Turut hadir ialah Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.-SabahNewsToday