Pilih Bahasa

Kolej Sidma anjur program agihan bubur lambuk

KOTA KINABALU:  Walaupun dalam keadaan perintah kawalan pergerakan (PKP) Kolej Sidma Sabah turut mengadakan aktiviti Sedekah Bubur Lambuk pada tahun ini.

Bubur berkenaan diagihkan kepada petugas barisan hadapan, penduduk sekitar masjid dan surau serta orang awam yang mana sasaran utama adalah kawasan tempat tinggal dan “kongsi” pekerja harian di sekitar Putatan, Inanam dan Manggatal.

Dr Morni (tengah) dan petugas Kolej Sidma yang menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan. – Gambar SNT/Ihsan Kolej Sidma

Menurut Pengerusi Kolej Sidma Sabah, Dr Mornie Kambrie berkata program khidmat kepada masyarakat itu merupakan salah satu aktiviti bersedekah oleh pihak kolej berkenaan sempena bulan Ramadan setiap tahun.

Beliau berkata orang ramai akan bersedekah dan krew kolej itu diketuai Chef Hanisah yang akan memasak bubur lambok dan selepas itu, mereka akan membuat agihan bubur lambuk bermula pukul 3 dan berakhir 5 petang.

“Program bubur lambuk itu merupakan program tahunan Kolej Sidma pada setiap kali bulan Ramadan,” katanya.

Dr Morni (kiri) sedang membungkus bubur lambuk sebelum diagihkan. – Gambar SNT/Ihsan Kolej Sidma

Beliau menambah, tempahan juga diterima daripada individu yang bersedekah untuk berbuka puasa untuk ditujukan kepada kampung tertentu dan pejabat tertentu yang beroperasi semasa PKP.

“Program pengagihan bubur lambuk ini berjaya diadakan hasil daripada sumbangan orang ramai, individu dan organisasi yang mahu bersedekah di bulan yang mulia ini. Program ini dijalankan sejak awal Ramdan lagi.

“Kolej Sidma sangat berterima kasih di atas sumbangan ikhlas yang telah diberikan dan terima kasih khusus kepada Balai Polis Penampang kerana telah meluluskan kebenaran untuk program bubur lambuk diadakan sepanjang Ramadan semasa dalam tempoh PKP,” kata Dr Morni lagi. – SabahNewsToday